Fosil katak berusia dua juta tahun ditemui

BUENOS AIRES, 9 JUN – Ahli paleontologi Argentina mene-mui fosil spesies katak luar biasa yang hidup dua juta tahun lalu, kata agensi sains dan teknologi di universiti kebangsaan La Matanza semalam.

“Kami tidak banyak tahu mengenai katak dan kodok prasejarah,” kata Federico Agnolin, penyelidik di Muzium Sains Semula Jadi.

“Katak dan kodok adalah amat sensitif kepada perubahan iklim dan alam sekitar, yang menjadikan ia sumber penting untuk memahami iklim lampau.”

Fosil itu ditemui 44 meter di bawah tanah semasa usaha menggali sebuah telaga di San Pedro, kira-kira 180 kilometer dari utara ibu negara Buenos Aires.

Ia terdiri daripada ‘tulang humerus (lengan) amat kecil seekor amfibia, berbeza daripada katak pokok dan bertanduk,’ kata Angolin. Meskipun saiz kecil fosil, katak berkenaan masih dapat dikenal pasti disebabkan Anuras, kumpulan amfibia tanpa ekor di mana katak dan kodok tergolong, mempunyai struktur unik di hujung humerus yang membentuk siku, kata Angolin.

Keunikan itu memberikan katak pergerakan lincah.

“Penemuan spesies baharu haiwan amfibia dari akhir era Pliocene dan awal Pleistocene merupakan perkembangan besar untuk kajian paleontologi Argentina,” tambah beliau. – AFP