Fosil penguin gergasi ditemui

WELLINGTON, 14 OGOS – Fosil penguin gergasi bersaiz hampir sebesar manusia dewasa dijumpai di Pulau Selatan New Zealand, kata kumpulan saintis, hari ini.

Saintis mengesahkan burung gergasi laut itu berketinggian sehingga 1.6 meter dan seberat 80 kilogram, kira-kira empat kali ganda lebih berat dan 40 sentimeter lebih tinggi berbanding penguin Maharaja moden.

Mereka menamakannya ‘corssvallia waiparensis’ dan spesies burung itu kerap diburu di pantai New Zealand ketika era Paleosen, kira-kira 66 hingga 56 juta tahun lalu.

Pemburu fosil amatur menjumpai tulang kaki milik mamalia itu tahun lalu dan ia disahkan sebagai spesies baharu dalam penyelidikan yang diterbitkan minggu ini di dalam ‘Alcheringa: An Australasian Journal of Palaeontology’.

Penyelidik Muzium Canterbury, Vanesa De Pietri berkata ia adalah kali kedua penguin gergasi dari era Paleosen dijumpai di kawasan terbabit.

“Penemuan ini memperkukuhkan lagi teori kami, bahawa penguin mampu mencapai saiz yang lebih besar dalam evolusi haiwan itu,” katanya. – AFP

Kurator kanan di Muzium Canterbury, Dr Paul Scofield memegang fosil, satu tibiotarsus (atas) berhampiran dengan tulang serupa seekor Penguin Maharaja di Christchurch, New Zealand. Saintis di New Zealand mengatakan mereka menemui fosil tulang penguin gergasi yang pupus, sebesar saiz manusia dan pernah berenang di lautan kira-kira 60 juta tahun lalu. – AP