Foto bersama sampah pupuk kesedaran kepada masyarakat

SAMPAH-SARAP yang tidak digunakan kebiasaannya akan dibuang ke tapak pembuangan sampah untuk dilupuskan. Bagaimanapun, berbeza bagi seorang jurugambar warganegara Perancis, Antoine Repesse apabila mengambil pendekatan untuk menyimpan sampah-sarap yang tidak digunakan di kediamannya.

Semua itu dilakukan oleh Repesse selepas melihat tabiat orang ramai yang suka membuang sampah di merata-rata tempat sehingga menyebabkan berlakunya pencemaran alam sekitar. “Kita sering mendengar sampah yang dihasilkan pada tahap membimbangkan. Bagaimanapun, ramai yang tidak mempunyai kesedaran untuk meminimumkan jumlah pembuangan tersebut.

“Jadi sebagai salah seorang warganegara prihatin, saya mengambil keputusan untuk menunjukkan kepada orang ramai kesan lambakan sampah yang dihasilkan oleh mereka.

“Saya mengambil inisiatif untuk tidak membuang sampah yang telah digunakan. Sebaliknya, saya menyimpannya di dalam rumah untuk dijadikan sebagai objek fotografi yang mampu memberi kesedaran kepada mereka,” jelasnya.

Sarang tikus

Menurut Repesse, agak sukar baginya untuk mengumpulkan sampah-sarap tersebut. Tambahan pula, dia mendiami rumah tersebut seorang diri dan tidak banyak menggunakan barangan yang menghasilkan sampah seperti pembungkus makanan atau penggulung tisu tandas.

Sampah-sarap ini kemudian digunakan sebagai ‘aksesori’ untuk merakam gambar bagi menyampaikan mesej kepada orang ramai. – Agensi

Disebabkan itu, dia mengambil masa selama empat tahun untuk memenuhkan kediamannya dengan timbunan sampah-sarap. “Saya memulakan misi tersebut pada tahun 2011 dan tamat empat tahun kemudian.

“Bagaimanapun, tidak semua sampah akan disimpan di dalam rumah saya. Ini kerana, pada kebiasaannya saya hanya akan menyimpan sampah-sampah kering seperti botol plastik, penggulung kertas tandas, surat khabar dan kotak makanan.

Menurut Repesse lagi, pada mulanya, dia akui tidak selesa apabila melihat timbunan sampah-sarap mula memenuhi ruang rumahnya. “Bayangkan tong tempat saya menyimpan sampah seperti bekas-bekas kosong tersebut mula memuntahkan isinya.

“Sehingga ke satu tahap saya sukar untuk bergerak di dalam rumah sendiri dek kerana sampah yang mula menutupi lantai. Boleh dikatakan pada waktu itu rumah ini kelihatan tidak ubah seperti sarang tikus,” jelasnya.

Bagi memberi impak yang lebih berkesan, Repesse menyusun sampah yang dikumpulnya dan memberikan sedikit sentuhan visual bagi menghasilkan gambar yang mampu mengganggu keselesaan individu. – Agensi
Seorang jurufoto warganegara Perancis, Antoine Repesse apabila mengambil pendekatan untuk menyimpan sampah-sarap yang tidak digunakan di kediamannya. – Agensi

Pupuk kesedaran

Biarpun begitu, sebaik teringatkan misinya untuk mendidik orang ramai, dia mula positif dan bersemangat untuk mengumpul kembali sampah sarap tersebut. Selepas empat tahun berusaha mengumpul sampah sarap tersebut, Repesse akhirnya menghentikan kerja gila tersebut sebaik mendapati dia mempunyai sampah yang mencukupi untuk projek yang dijalankanya.

“Saya berjaya mengumpulkan 1,600 botol susu kosong, 4,800 penggulung tisu tandas dan 800 kilogram surat khabar. Barangan ini kemudian digunakan sebagai ‘aksesori’ untuk merakam gambar bagi menyampaikan mesej kepada orang ramai.

“Saya tertarik melihat bagaimana sesuatu objek boleh kehilangan fungsi dan keistimewaannya apabila ia menjadi sebahagian besar daripada kemusnahan Bumi.

“Disebabkan jumlah sampah yang dibuang setiap hari tidak meninggalkan kesan kepada orang ramai, maka saya fikir dengan menggunakan gambar, ia mungkin dapat mendidik dan memberi kesedaran kepada mereka secara halus,” katanya lagi.

Bagi memberi impak yang lebih berkesan, Repesse menyusun sampah yang dikumpulnya dan memberikan sedikit sentuhan visual bagi menghasilkan gambar yang mampu mengganggu keselesaan individu dan seterusnya membuatkan mereka berfikir.

“Walaupun banyak badan bukan kerajaan telah mengambil langkah untuk meminimumkan sisa yang tidak perlu melalui ceramah kesedaran, namun kunci kepada perubahan sebenar terletak pada pengguna iaitu dengan mengubah tabiat buruk mereka,” jelasnya. – Agensi