Tiga tahun tidak muncul dalam drama atau filem, pelakon Datin Fouziah Gous memberitahu keutamaannya kini beralih kepada perniagaan minuman kesihatan, sarang burung.
Menurut Fouziah atau nama sebenarnya Nor Fouziah Mohd Gous, dia mula mengurangkan aktiviti seni semenjak menceburi bidang perniagaan.
“Saya memang dah lama tidak muncul di TV. Memang fokus kepada perniagaan. Masa saya aktif berlakon, saya antara yang mula buat perniagaan atas talian.
“Masa fasa pertama perniagaan banyak mengambil masa, tenaga dan jiwa saya, terlalu banyak usaha yang perlu saya berikan sebab tak banyak rujukan seperti sekarang.
“Bukan saya tak berlakon, tapi perniagaan memang ambil masa saya dari pagi sampai ke malam. Kadang-kadang saya berada di pejabat,”katanya kepada wartawan.
Fouziah ditemui di sidang media Minggu Usahawan Negara 2022 dan Starvendors Kedah Raya Fest 2022 di Grand Malaysia Bazaar, Bukit Bintang City Central (BBCC), Kuala Lumpur baru-baru ini.
Untuk rekod, drama Sara Sajeeda yang ditayangkan pada 2019 merupakan karya lakonan terakhir Fouziah Gous. Dalam pada itu, aktres berusia 39 tahun ini mengakui dia mempunyai perasaan rindu terhadap lakonan namun berdepan kekangan masa untuk kembali ke set penggambaran.
Biarpun menerima banyak tawaran, namun Fouziah terpaksa memilih pekerjaan yang bersesuaian dengan jadual hariannya yang sibuk dengan perniagaan.
“Sejujurnya, bukan tak nak berlakon malah saya rindu juga nak berlakon tetapi bila nak ada masa. Sebenarnya tawaran sentiasa ada, tapi apa yang saya pilih, jadi tetamu dalam program.
“Macam sebelum ini saya jadi tetamu untuk program Sepahtu Raya. Saya pilih tawaran yang tidak memerlukan masa yang lama. Jadi, kekangan masa menjadi punca saya tak berlakon.” – Agensi