Nama Datin Fouziah Gous sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi dalam industri seni Malaysia.
Jika dicongak, beliau sebenarnya sudah 17 tahun berada di pentas lakonan dan pengacaraan. Masa yang berputar ligat menyaksikan selebriti itu sudah menginjak usia 40 tahun pada Disember ini. Ah! Cepatnya detik jam berdetak.
Namun, apa yang penulis pasti, wajah beliau seperti tidak dimamah usia. Kejelitaan masih kekal miliknya. Kemulusan kulit pelakon yang cukup hit dengan drama Cinta Medik itu juga sangat terserlah.
Terpakulah dibuatnya. Justeru, sukar mahu menelan hakikat bahawa Fouziah kini berada pada tingkatan umur berkenaan.
Saat mendengar kata-kata tersebut dilantunkan oleh pihak media, wanita tinggi lampai berdarah kacukan Cina, Pakistan dan Melayu itu tersenyum simpul.
Kami terus menebak apakah petua dan rahsia keelokan rupa paras ibu kepada Muhammad Zeeshan, 6, dan Zaheen Yusuf, 5, yang terus bertahan.
Akui isteri kepada Datuk Mohd Zhafran Md Yusof itu, beliau sama sekali tidak mempercayai terdapat jalan singkat dalam bab menjaga penampilan.
“Penglibatan saya dalam perniagaan minuman kesihatan berasaskan sarang burung, FGWalet membuatkan saya banyak belajar tentang bahan yang terkandung dalam sesuatu produk.
“Lagi saya belajar, ia menambah ketakutan saya,” ujarnya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Jualan Hari Jadi Kelapan Astro Go Shop di Kuala Lumpur baru-baru ini. Meneruskan ritma bicara, Fouziah berkata, masyarakat yang juga seorang pengguna atau pembeli, seharusnya perlu ada ilmu tentang item kecantikan yang mahu digunakan. Jangan bersikap semberono. – Agensi