Foxconn dedah kenderaan elektrik

TAIPEI, 18 OKT – Syarikat gergasi Taiwan, Foxconn mendedahkan tiga kenderaan elektrik hari ini, merangsang usahanya untuk menjadi organisasi utama dalam pasaran EV yang pantas berkembang ketika ia mencari syarikat-syarikat lain untuk menjalin kerjasama.

Pengilang kontrak elektronik terbesar di dunia, Foxconn sudah pun memainkan peranan penting dalam pemasangan iPhone Apple serta gajet bagi barisan jenama antarabangsa yang terkenal.

Namun ia telah bergerak pantas untuk mempelbagaikan di sebalik pemasangan elektronik dan telah melaburkan banyak wang terhadap kenderaan elektrik, termasuk usaha bersama dengan pengilang auto tempatan, Yulon Motor dan membeli sebuah kilang auto bermasalah di Ohio.

Model-model yang didedahkan hari ini – sebuah sedan, SUV dan bas – kenderaan konsep yang Foxconn harapkan ia boleh membina bersama pengilang lain.

“Foxconn bukan lagi syarikat yang baru berkecimpung,” kata pengerusi Yong Liu mengumumkan pada majlis pendedahan kenderaan itu di Taipei.

Pengasas Foxconn, Terry Gou ketika keluar dari kereta elektrik semasa pendedahannya di pusat pameran Nangang di Taipei pada 18 Oktober. – AFP

Pengasas Foxconn, Terry Gou memandu kereta sedan ‘Model E’ ke pertunjukan dan berkata EV syarikat itu ‘menunjukkan keseluruhan kekuatan industri Taiwan’.

Kenderaan utiliti sport putih – Model C – dijangka akan dipasarkan di Taiwan pada tahun 2023 dengan label harga di bawah Tw$1 juta (AS$357,000), kata firma itu.

Bas elektrik Model T akan memulakan operasinya di selatan bandar Kaohsiung seawal tahun depan jika ia lulus penilaian kementerian pengangkutan, kata naib perdana menteri Shen Jong-chin.

Foxconn telah membelanjakan sekitar Tw$10 bilion (AS$355 juta) ke atas pembinaan kereta elektrik pada 2020 dan syarikat itu berkata pelaburan itu akan meningkat dua tahun akan datang.

Liu berkata syarikat itu ‘membina rangkaian bekalan kenderaan elektrik dan rangkaian pengagihan secara berperingkat’ dengan satu rakan kongsi baharu diumumkan hampir setiap bulan tahun ini.

Antara rakannya baru-baru ini adalah Fisker, salah satu syarikat baharu kereta elektronik berpangkalan di Amerika Syarikat yang diharapkan suatu hari nanti dapat menyaingi kekuasaan Tesla. – AFP