Foxes jumpa Blues di final piala FA

LONDON, 19 APRIL – Leicester mara ke final Piala FA buat pertama kali dalam tempoh 52 tahun apabila menyaksikan jaringan tunggal daripada Kelechi Iheanacho membawa pasukannya meraih kemenangan 1-0 ke atas Southampton di hadapan 4,000 penonton yang hadir di Stadium Wembley, semalam.

Ia adalah jumlah penonton paling ramai dalam perlawanan bola sepak di England selepas 13 bulan, yang terdiri daripada barisan pekerja utama dan penduduk tempatan sebagai sebahagian daripada percubaan sebelum membenarkan jumlah penonton lebih besar kembali ke stadium beberapa minggu lagi.

Seramai 8,000 akan dibenarkan hadir di Stadium Wembley Ahad depan bagi perlawanan final Piala Liga yang akan menyaksikan pertembungan antara Manchester City dan Tottenham, manakala 21,000 penonton dibenarkan untuk menyaksikan perlawanan Leicester dan Chelsea di final Piala FA pada 15 Mei depan.

“Biarpun hanya 4,000 penonton sahaja ia terasa sangat hebat,” kata pengurus Leicester, Brendan Rodgers.

“Ia menjadi sangat luar biasa apabila kami dapat membawa penyokong kembali ke stadium. Saya dapat mendengar sorakan daripada penyokong Leicester di sini dan ia sangat menyenangkan.

Aksi Kelechi Iheanacho ketika menjaringkan gol semasa perlawanan separuh akhir Piala FA di antara Leicester City dan Southampton di Stadium Wembley di London, semalam. – AP

“Kami mempunyai peluang mencipta sejarah. Itulah permainan ini, mencipta memori. Saya menyedarinya sejak berada di Leicester betapa pentingnya piala ini kepada penyokong.”

Di atas padang Leicester bergelut untuk mengatasi Southampton, yang bergantung kepada nasib dalam saingan untuk merebut piala bagi menyelamatkan musim mereka.

Sementara itu pasukan kendalian Ralph Hasenhuttl hanya memenangi dua dari 14 perlawanan terakhir di Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak kali terakhir dua pasukan itu bertemu pada Januari lalu.

“Kami memberikan segala-galanya di padang hari ini tetapi kami tidak mempunyai sasaran,” kata Hasenhuttl yang kini fokus untuk terus kekal di EPL.

Iheanacho gagal menemukan jaringan pada percubaan pertamanya, tetapi bola berjaya dihalang kembali ke arah pemain Nigeria itu untuk menjaringkan gol ke-12 dalam semua pertandingan. – AFP