Wednesday, January 22, 2025
27.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Francis, pemuda OKU sukarelawan banjir, usahawan PVC

    PENAMPANG – Seorang pemuda kelainan upaya (OKU) Francis Xavier Kinjin, membuktikan dirinya tiada beza dengan individu normal lain, walaupun dilahirkan tanpa kedua belah kaki daripada paras pinggang.

    Kelincahan pemuda berusia 33 tahun itu mengemudi dirinya dengan kerusi roda membantu pasukan Angkatan Pertahanan Awam serta anggota sukarela menguruskan pusat pemindahan sementara banjir, menyebabkan wartawan Bernama tertanya sama ada beliau merupakan seorang daripada sukarelawan di pusat berkenaan.

    “Ya, saya bertugas sebagai sukarelawan di sini (pusat pemindahan) dan saya juga mangsa banjir yang dipindahkan ke sini,” katanya ketika ditemui di sebuah pusat pemindahan sementara semasa Penampang dilanda banjir baru-baru ini.

    Katanya beliau menjadi sukarelawan sejak 10 tahun lalu, bukan kerana mahu membuktikan golongan sepertinya mampu melakukan tugas seperti orang normal tetapi kerana peluang itu tersedia untuknya.

    “Inilah kehidupan (sebagai OKU) yang saya tahu sejak kecil. Saya tidak menganggap saya OKU,” katanya.

    Francis Xavier Kinjin, membuktikan dirinya tiada beza dengan individu normal lain, walaupun dilahirkan tanpa kedua belah kaki daripada paras pinggang. – Agensi

    Berniaga sendiri

    Francis yang berkecimpung dalam penghasilan kraf berasaskan paip polivinil klorida (PVC) sejak dua tahun lepas, juga mempunyai perniagaan sendiri apabila gambar jemuran kain yang dihasilkan tular dalam laman sosial Facebook, dan dikongsi kira-kira 5,000 kali serta meraih lebih 2,000 komen positif daripada netizen dalam tempoh sejam.

    Hingga kini, anak bongsu daripada lima beradik yang tinggal bersama ibunya di Kampung Dabak dekat sini itu, mendapat lebih 1,000 tempahan kraf berasaskan PVC untuk pelbagai produk.

    “Perniagaan kraf PVC saya ini belum mencapai tahap membanggakan lagi, namun saya bangga usaha ini dapat memberikan pulangan kepada saya dan ibu untuk hidup selesa,” katanya, yang turut menderma lima peratus hasil keuntungan jualan kepada beberapa badan kebajikan seperti rumah orang tua, OKU dan anak yatim.

    Orang ramai yang berminat boleh menghubungi beliau menerusi Facebook atas nama Francis Xavier Kinjin atau laman krafnya, Oliver Putut. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda