Frankfurt mengenakan jersi Black Lives Matter

MUNICH, JERMAN, 11 JUN – Eintracht Frankfurt mengenakan jersi menandakan sokongan Pergerakan Black Lives Matter (BLM) pada perlawanan separuh akhir Piala Jerman semalam, sementara Bayern Munich melakukan pemanasan badan dengan memakai jersi bermesejkan antiperkauman.

“Pasukan kami dan seluruh Eintracht Frankfurt bersatu menentang segala bentuk perkauman dan kami ingin menunjukkannya secara terbuka hari ini,” jelas pengarah Frankfurt, Fredi Bobic sebelum memulakan perlawanan di stadium tertutup.

Baju jersi Frankfurt dengan logo #BlackLivesMatter adalah tanda solidariti terbaharu dari kelab-kelab Bundesliga setelah kematian George Floyd, lelaki Amerika kulit hitam di Minneapolis, Minnesota, dua minggu yang lalu di tangan polis.

Pasukan Bayern melakukan pemanasan badan sebelum perlawanan separuh akhir di halaman mereka dengan mengenakan jersi putih berlogo #BlackLivesMatter dan “Rot Gegen Rassismus” (Merah menentang perkauman).

Bendera di setiap sudut padang di Bayern Allianz Arena juga membawa mesej yang sama.

Borussia Dortmund juga mengenakan jersi ketika melakukan pemanasan badan menunjukkan solidariti terhadap tunjuk perasaan, yang telah berlaku di bandar-bandar di seluruh AS dan di seluruh dunia, sebelum perlwanan liga mereka pada hujung minggu lalu.

Mereka adalah antara kelab Bundesliga yang juga berlutut sebelum memulakan perlawanan liga mereka pada hujung minggu sebagai penghormatan kepada Floyd.

Floyd, yang dikebumikan pada hari Isnin, meninggal dunia ketika seorang anggota polis melutut di lehernya di Minneapolis, Minnesota, pada akhir Mei dan kematiannya, dirakamkan dalam video, mencetuskan tunjuk perasaan di seluruh dunia. – AFP

Reaksi pemain pertahanan Frankfurt, Timothy Chandler memakai jersi bertulis Black Lives Matter sebelum perlawanan bola sepak separuh akhir Piala Jerman (DFB Pokal) antara FC Bayern Munich dan Eintracht Frankfurt di Munich, Jerman semalam. – AFP