Fredo: rezeki nyanyian masih ada

Biarpun berdepan dengan masalah penglihatan, namun tubuh badan penyanyi bersuara serak, Fredo, 70, sihat dan suaranya pula masih lunak kedengaran.

Rahsianya, penyanyi yang popular menerusi lagu Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta itu sangat menitikbe-ratkan soal penjagaan kesihatan dengan mengamalkan berjalan kaki, setiap hari.

“Setakat ini, saya tak mempunyai masalah kesihatan lain. Saya suka berjalan kaki, setiap hari. Selain itu, saya tak merokok, minum minuman keras dan mengambil ais.

“Saya bersyukur rezeki dalam dunia nyanyian tak pernah putus hingga hari ini, biarpun usia makin meningkat,” katanya kepada media.

Penyanyi yang mendirikan rumah tangga dengan anak bintang legenda, Allahyarharm Datuk Mustapha Maarof, Suzlynna Mustapha Azahari menggunakan bakat kurniaan Tuhan untuk menampung kehidupan sekeluarga termasuk anak tunggalnya, Danny Villenguez, 17.

Fredo merasa bersyukur rezeki dalam dunia nyanyian tidak pernah putus hingga hari ini, biarpun usia makin meningkat. – Agensi

Penyanyi berketurunan Filipina memeluk Islam pada tahun 1996 dengan nama Mohd Amani Abdullah itu berkata, dia perlu membiasakan diri dengan normal baharu untuk kekal relevan dalam industri muzik.

Selain berkebolehan menyanyi, Fredo berkata, dia mampu bermain pelbagai jenis alatan muzik.

Justeru, katanya, dia tidak risau jika tiada tawaran menyanyi, boleh mencari rezeki sebagai penyanyi jalanan.

Namun, katanya, dia tidak selesa mencari rezeki dengan cara demikian, tetapi tidak kisah sekiranya terdesak atau demi kebajikan orang lain.

“Saya tak akan ‘busking’ untuk kepentingan diri sendiri, tetapi jika perlu membantu orang lain, saya akan buat juga. Jika nampak penyanyi jalanan, ada masanya saya minta kebenaran menyumbangkan lagu.

“Saya seronok melihat reaksi orang lalu lalang, ada antaranya terkejut melihat saya menyanyi dan menyumbang duit yang sebaliknya saya berikan kepada penyanyi jalanan tersebut,” katanya.

Fredo berkata, hampir tiga tahun dirinya bergantung kepada mata sebelah kanan untuk penglihatan.

Biarpun menghadapi kesukaran hanya mempunyai sebelah mata, namun demi mencari sesuap nasi, bekas vokalis kumpulan Flybaits itu menggagahkan diri memandu kereta jika perlu memenuhi undangan nyanyian.

Bagaimanapun, katanya, ihsan seorang hamba Allah berhati mulia menyebabkannya dapat melihat dengan menggunakan kedua-dua mata semula selepas menjalani pembedahan, Januari lalu. – Agensi