Freiburg bakal uji mentaliti Dortmund

BERLIN, 19 April – Jurulatih Borussia Dortmund, Lucien Favre membalas kecaman ke atas pasukannya, yang dilihat mahu mengekalkan persaingan bagi perebutan gelaran Bundesliga dengan ujian sukar menentang Freiburg hujung minggu ini.

Dortmund kekal satu mata di belakang pendahulu liga, Bayern Munich dengan berbaki lima perlawanan, tetapi berdepan kritikan meluas selepas kemenangan sukar 2-1 ke atas Mainz hujung minggu lalu, di mana skuad Favre terpaksa bertahan daripada serangan separuh masa kedua untuk meraih tiga mata.

Perlawanan itu juga mencetuskan pencarian diri dalam barisan Dortmund, dengan kapten Marco Reus berkata pasukan itu perlu bermain ‘melebihi had mereka’ sekiranya mereka mahu memenangi gelaran.

“Semua orang berkata kami beraksi teruk pada separuh masa kedua, tetapi ia dibesar-besarkan,” kata Favre kepada wartawan.

“Kami mempunyai tiga peluang keemasan di separuh masa kedua, dan kami hanya bermain teruk pada 10 minit terakhir.”

Pesaing gelaran, Dortmund berdepan Freiburg hujung minggu ini, antara perlawanan sukar antara sekarang dan akhir musim. – AFP