Freshco kumpulkan 21 pain darah

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JUN – Sebagai usaha untuk menambah tabung darah bagi membantu mereka yang memerlukan di negara ini, kempen-kempen menderma darah terus dilaksanakan oleh pelbagai pihak.

Kompleks Membeli-belah Freshco juga tidak ketinggalan memberikan sokongan melalui kempen derma darah yang diadakan dengan kerjasama Tabung Darah Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), di Freshco Batu Satu, hari ini.

Kempen yang bermula pukul 10 pagi hingga 2 petang itu berjaya mengumpul 21 pain darah.

Antara lain tujuan kempen berkenaan adalah untuk memberi sokongan dan keprihatinan kepada masyarakat dalam menyumbang dan menambah stok darah di hospital berkenaan.

Di samping itu, ia juga sebagai amalan berkebajikan dan menanamkan sifat beramal jariah dengan menderma darah yang dapat menyelamatkan nyawa.

Salah seorang pengunjung menderma darah bagi memberikan sokongan terhadap kempen tersebut.