FTTH siap dipasang di Tanah Jambu

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Feb – Sebagai sebahagian daripada misi berterusannya untuk menyediakan akses Internet berkelajuan tinggi ke seluruh negara, Telekom Brunei Berhad (TelBru) mengumumkan bahawa penduduk di Tanah Jambu kini boleh melanggan akses Internet optik gentian berkelajuan tinggi atau ‘FTTH’.

Ini adalah susulan daripada kerja-kerja pemasangan yang telah siap dilaksanakan di kawasan berkenaan, menurut kenyataan yang dikeluarkan TelBru.

Kawasan Tanah Jambu juga dekat dengan kawasan perindustrian Salambigar yang terus berkembang, yang menempatkan beberapa syarikat FDI besar.

Setakat minggu lalu, beratus-ratus lagi penduduk boleh mendapatkan perkhidmatan jalur lebar TelBru dengan kelajuan sehingga 300mbps tatkala syarikat itu terus memacu landskap teknologi Brunei untuk menyediakan pengalaman Internet lebih baik ke arah Wawasan Brunei 2035 dan syarikat itu merancang untuk menyediakan perkhidmatan dengan kelajuan 1gbps pada masa depan. Sebagai penjelasan, standard TV 4K memerlukan 15-20mbps bagi penstriman TV dan HDTV hanya memerlukan 4mbps.

Kenyataan menambah, dalam beberapa bulan mendatang, rumah-rumah, perniagaan dan tapak perindustrian akan meningkat dalam jumlah ribuan tatkala syarikat itu bermatlamat untuk menghubungkan lebih 5,000 rumah di bawah penambahbaikan Internet berkenaan yang akan menyertai pelanggan sedia ada yang telah mendapat manfaat daripada grid gentian TelBru.

Menurut kenyataan itu, ini dapat dilaksanakan dengan tenaga kerja dedikasi yang bekerja keras bagi memastikan penduduk di beberapa kawasan tambah yang dirancang tahun ini, mendapat manfaat daripada akses Internet berkelajuan tinggi termasuk penggantian kabel tembaga dengan kabel gentian.

Dalam beberapa bulan mendatang ini, syarikat berkenaan akan mengumumkan lebih banyak kawasan di mana teknologi gentian akan tersedia, yang termasuk beberapa kawasan kediaman di Daerah Brunei dan Muara dan Temburong serta tapak perindustrian di Seria.

Dengan pertumbuhan Internet berkelajuan tingginya di negara ini, TelBru berharap ia secara tidak langsung menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi rakyat Brunei menerusi peningkatan akses kepada peluang-peluang perniagaan, pendidikan dan komunikasi dengan seluruh dunia. Kajian telah menunjukkan bahawa setiap 10 peratus penembusan FTTH kepada rakyat mempunyai potensi meningkatkan Keluaran Dalam Negeri Kasar per kapita negara antara 0.9 hingga 1.5 peratus menerusi peningkatan produktiviti di rumah dan di tempat kerja.

Gentian yang disambung secara manual adalah sebahagian daripada proses FTTH seluruh negara.
Pasukan TelBru ketika mula memasang kabel-kabel gentian bagi penduduk di Tanah Jambu.