Fuad mampu pertahan emas Sukan SEA – PTAM

KUALA LUMPUR, 15 Mei – Persatuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM) optimis peninju Malaysia, Muhamad Fuad Mohd Redzuan mampu mempertahankan pingat emas yang dimenanginya dua tahun lepas, pada Sukan SEA 2019 di Filipina, November ini.

Timbalan Presiden PTAM Mohd Iruan Zulkifli berkata selain sasaran pingat emas Kategori Light Fly 49 kilogram (kg) menerusi Muhamad Fuad, skuad tinju negara itu juga berpotensi meraih emas dalam beberapa acara lain, namun beliau enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu.

“Harapan kita kepada Muhamad Fuad kerana beliau menang pingat emas semasa Sukan SEA Kuala Lumpur 2017. Nama-nama atlet lain dan sasaran, biar kekal sulit. Kita tidak mahu memberi kelebihan kepada pihak lawan,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Sukan Tinju Bil 2/2019 di sini hari ini.

Muhamad Fuad mencatat sejarah merangkul pingat emas acara Light Fly 49kg, dan kejayaan itu adalah pertama buat Malaysia dalam kategori berkenaan dalam temasya Sukan SEA, selepas menewaskan petinju Thailand, Thani Narinram.

Pada Sukan SEA edisi ke-30 dijadual berlangsung dari 30 November hingga 11 Disember depan, tuan rumah Filipina mempertandingkan lapan kategori dan hanya membenarkan setiap negara menghantar wakil dalam enam kategori sahaja. – Bernama