TOKYO, 18 MAC – Saham-saham di firma Jepun, Fujifilm Holdings menjulang naik hari ini selepas pihak berkuasa China berkata ubat yang dihasilkan oleh syarikat itu mungkin berkesan untuk merawat pesakit koronavirus.
Saham Fujifilm Holdings memulakan hari itu dengan tidak didagangkan kerana kebanjiran tempahan belian, sebelum meningkat 15.4 peratus kepada 5,238 yen, paras tertinggi dibenarkan semasa niaga hari tersebut.
Kementerian Sains dan Teknologi China berkata lewat kelmarin bahawa beberapa ujian klinikal telah disiapkan ke atas favipiravir – bahan utama dalam ubat influenza Avigan, yang dipasarkan Fujifilm.
Percubaan itu menggunakan ubat tersebut sebagai satu rawatan bagi COVID-19 menunjukkan ‘keputusan klinikal sangat bagus’, kata para pegawai pada sidang berita.
Satu percubaan melibatkan 80 kes yang dijalankan oleh sebuah hospital di Shenzhen dan satu kajian ke atas 120 kes diketuai oleh Universiti Hospital Zhongnan Wuhan menunjukkan ubat itu mengurangkan tempoh kesembuhan pesakit.

Dikenali sebagai pengeluar kamera, Fujifilm menghasilkan Avigan dan melesenkan paten bagi favipiravir kepada syarikat Cina, Zhejiang Hisun Pharmaceutical.
Firma Jepun itu memberitahu AFP ia tidak terlibat dalam ujian klinikal di China, namun ‘bagi Avigan, kami telah menerima permintaan bekalan dari beberapa buah negara sementara kerajaan Jepun telah meminta kami untuk mengkajinya jika kami akan dapat meningkatkan pengeluaran.”
“Kami sekarang meneliti halangan untuk diselesaikan bagi merangsang pengeluaran,” kata seorang jurucakap.
Fujifilm dan pemegang lesen Cina sedang ‘bekerjasama’ namun firma Jepun itu tidak terlibat dalam penghasilan di China, tambahnya.
Ujian klinikal menggunakan Avigan sebagai rawatan terhadap virus itu juga dimulakan di Jepun. – AFP