Fulham buat Everton derita

LONDON, 14 April – Pemburuan Everton untuk memburu slot Liga Europa musim depan menerima tamparan selepas tewas 2-0 kepada Fulham di Craven Cottage menerusi jaringan Tom Cairney dan Ryan Babel, malam tadi.

Berakhir separuh masa pertama penuh aksi, Cairney yang menjadi antara tonggak Fulham memburu tempat ke Liga Perdana Inggeris musim lalu memecah kebuntuan sejurus babak kedua bermula selepas menerima hantaran menarik Babel.

Cairney memperoleh gol pertamanya dalam Liga Perdana menerusi rembatan kencang melepasi jangkauan penjaga gol Everton, Jordan Pickford sekali gus memberi petanda positif untuk kelab meraih kemenangan kelima dalam saingan liga elit musim ini.

Dominic Calvert-Lewin hampir menyamakan kedudukan buat Everton apabila percubaannya terkena tiang tetapi Babel memastikan kemenangan tuan rumah pada minit ke-69 hasil larian solo menarik dari tengah padang sebelum tenang menewaskan Pickford.

“Kami menjangkakan perlawanan yang sukar. Kami tidak beraksi dengan baik, dan tidak seimbang di atas padang. Ia hari yang malang untuk kami,” kata pengendali Everton, Marco Silva.

Kekalahan Everton itu bermakna mereka kekal di tangga kesembilan dengan 46 mata. Kelab Merseyside itu kembali menjadi pencabar slot Liga Europa musim depan selepas meraih beberapa keputusan memberangsangkan tetapi kini mereka perlu menduduki tangga ketujuh untuk mengesahkan slot itu. – AFP