SHAH ALAM, 10 Jan – Pada penampilan ketiganya pada kejohanan Piala EurAsia, pemain golf profesional Malaysia Nicholas Fung berharap mendapat gandingan terbaik dalam memulakan cabarannya pada kejohanan berkenaan.
“Perkara paling penting kita perlu pasangan yang sesuai. Itu yang paling utama bagi Pasukan Asia. Saya tahu, kami semua rakan yang baik dalam Pasukan Asia, semuanya mesra dan lucu. Ini bagus kepada kami untuk memberi dorongan dan motivasi.
“Saya harap dapat bergandingan dengan semua pemain. Apa yang saya mahu ialah pemain yang boleh membuat pukulan lebih jauh daripada saya dan ia akan menjadi lebih mudah bagi saya,” kata pemain kelahiran Sabah berusia 27 tahun itu.
Fung berkata beliau mahu memulakan musim 2018 dengan prestasi cemerlang dan pencapaian yang membanggakan.
“Saya sudah bersedia dengan baik kali ini, saya beraksi dengan baik di lapangan golf ini dan banyak berlatih di sini. Lapangan golf ini tidak terlalu panjang dan yang paling penting adalah membuat pukulan yang baik.
“Selepas mendapat kembali rentak permainan tahun ini, saya berharap minggu ini akan menjadi baik,” katanya.
Selain Fung, turut tersenarai dalam Pasukan Asia adalah rakan senegara dan pemenang Order of Merit Jelajah Asia 2017, Gavin Kyle Green.
Barisan pemain Malaysia dijangka dapat menarik banyak peminat ke Kelab Glenmarie Golf and Country apabila Pasukan Asia berdepan Pasukan Eropah yang diketuai Thomas Bjorn dalam saingan itu yang serupa dengan Piala Ryder, dan berlangsung selama tiga hari bermula 12 Jan ini.
Kejohanan Piala EurAsia akan menyaksikan 24 perlawanan, dengan hari pertama menampilkan enam perlawanan fourball, diikuti enam perlawanan foursome dan 12 perlawanan perseorangan pada hari ketiga.
Pasukan yang muncul juara akan berkongsi hadiah kemenangan AS$3.6 juta, manakala naib juara berkongsi AS$1.2 juta. – Bernama