Wednesday, May 14, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Fungsi PPB diperluas, lebih inklusif

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OKT – Skop, fungsi dan peranan Pusat Pembangunan Belia (PPB) telah diperluaskan dengan penyertaan komuniti secara inklusif dalam melaksanakan kursus-kursus yang berpandukan pasaran selaras dengan visi baharunya iaitu Memperkasa Komuniti ke arah Kecemerlangan.

    PPB dihasratkan untuk menjadi sebuah pusat kecemerlangan latihan kemahiran yang mempunyai kumpulan sasaran komuniti yang inklusif termasuk golongan orang kelainan upaya (OKU), melalui pembangunan keupayaan yang dapat melahirkan sumber manusia pelbagai kemahiran abad ke-21 yang bersedia untuk masa depan serta dapat memenuhi keperluan industri dengan menerapkan kemahiran inovasi dan keusahawanan yang mampan.

    Perkara itu dinyatakan oleh Penolong Pengarah PPB, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dayang Fauziah binti Haji Mohd Salleh dalam kata alu-aluannya semasa Pelancaran Pameran Program Komuniti, Kursus Atelier Fesyen dan Desain Pakaian (KAFDA) 2022 yang berlangsung di Bilik Pameran, Aewon Garment & Embroidery, Airport Mall, hari ini.

    Hadir untuk merasmikan pameran berkenaan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.

    Dayang Fauziah turut menambah ia merupakan salah satu usaha KKBS melalui PPB dalam menyahut titah-titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa perhimpunan Hari Belia Kebangsaan ke-17 pada 2022 dan semasa lawatan tidak berjadual Baginda ke KKBS pada 30 November 2020.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi menyampaikan sijil kepada peserta program KAFDA 2022.
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi mendengar penerangan mengenai hasil rekaan semasa pameran KAFDA 2022 di Bilik Pameran, Aewon Garment & Embroidery, Airport Mall.

    Baginda bertitah mengalu-alukan kiranya lebih ramai lagi para usahawan belia menceburkan diri dalam bidang keusahawanan sebagai usaha memperkasa ekonomi negara.

    Baginda juga sangat prihatin akan kebajikan golongan OKU yang mengikuti kursus kemahiran di Pusat Bahagia untuk mendapatkan pekerjaan di mana Baginda bertitah untuk memberikan pehatian serius mengenai isu OKU tidak menjadi pilihan kepada pihak majikan sama ada di kerajaan mahupun swasta dalam mendapatkan pekerjaan.

    Dalam hubungan itu, beliau amat berbesar hati kerana dengan kerjasama beberapa rakan strategik seperti Pusat Bahagia, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dan Syarikat Aewon Garment & Embroidery, pameran KAFDA akan menjadi platform dalam melahirkan individu kreatif yang berkecimpung dalam bidang keusahawanan secara inklusif khususnya bidang industri pakaian tempatan untuk mempamerkan hasil ciptaan atau pakaian jenama mereka sendiri.

    Majlis diteruskan dengan pelancaran pameran KAFDA yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi dan menyampaikan sijil kepada peserta-peserta KAFDA.

    Beliau turut menyaksikan dan diberikan penerangan mengenai hasil rekaan dan pakaian yang dipamerkan oleh peserta-peserta pameran KAFDA.

    Pameran KAFDA merupakan hasil daripada program Komuniti, Kursus Atelier Fesyen dan Desain Pakaian yang baru diperkenalkan dan dilaksanakan bermula 8 Ogos dan berakhir pada 5 Oktober lalu.

    Program itu merupakan latihan kemahiran secara peningkatan kemahiran dan terbuka kepada peserta kursus yang sudah mempunyai kemahiran jahitan dan ingin mempelajari kemahiran rekaan grafik dengan mengendalikan hasil rekaan melalui aplikasi.

    Pameran melibatkan seramai 14 orang peserta Kursus KAFDA dan diiringi oleh empat buah syarikat tekstil di bawah Program Inkubator PPB yang diperkenalkan sejak 2020 iaitu Zoha HN Enterprise, Gentleman Stitch Enterprise, Cerita Fabrikku Sdn Bhd dan Perusahaan Mazroni BKP dan Rakan-rakan.

    Daripada 14 orang peserta Kursus KAFDA berkenaan, lima orang terdiri daripada pelatih-pelatih Pusat Bahagia yang dibantu oleh seorang penterjemah bahasa isyarat.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda