Oleh Mohamad Asyramisyanie
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Ogos – Persaingan peringkat kumpulan Kejohanan Futsal Piala Keputeraan 2018 menyaksikan dua pasukan terbaik dalam setiap kumpulan berjaya mara ke peringkat seterusnya, dalam saingan menarik di Dewan Serba Guna Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, hari ini.
Pasukan Brunei 88 B dan Akse Bersatu muncul dua pemenang teratas Kumpulan A, sementara dalam Kumpulan B, Pasukan JS FT muncul juara diikuti oleh DDT FT.
Manakala pada sebelah petang, Pasukan Red Butterfy dan Pasukan BA FT berjaya mengatasi saingan pasukan lain dalam Kumpulan C untuk meneruskan kemaraan. Pasukan Arbisyam B pula mengungguli Kumpulan D, diiringi oleh Pasukan Rizfiz.
Pasukan Akse Bersatu membuka tirai perlawanan Kumpulan A dengan bergaya apabila menewaskan Pasukan Wondrous FT 5-0, dan meneruskan kemenangan menewaskan Pasukan Majlis Sukan Sekoah-sekolah Brunei Darussalam sebelum tewas kepada Pasukan Brunei 88 B, yang memenangi kesemua perlawanan mereka pagi tadi.

Kumpulan B pula menyaksikan saingan sengit di mana Pasukan DDT FT dan JS FT mara selepas menang sekali dan seri dua kali, namun masih mengatasi mata Pasukan Jigsaw FT dan Pasukan Kamoz FT.
Pada sebelah petang, Red Butterfly dan Pasukan BA FT mara ke peringkat mati setelah masing-masing mengutip tujuh mata dalam Kumpulan C, mengatasi saingan daripada Pasukan SPSS dan Pasukan TelBru.
Pasukan D menyaksikan Arbisyam B mengekalkan rekod tanpa kalah selepas dua menang dan satu seri untuk muncul pemenang, diikuti oleh Pasukan Rizfiz FT yang mengutip enam mata setelah dua kemenangan dan satu kalah, mengatasi cabaran daripada Pasukan Shah United dan Recon FT.