Friday, February 14, 2025
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Futsal KHEU labuh tirai

    Oleh Mohamad Asyramisyanie

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Mei – Pasukan dari Pejabat Hal Ehwal Ugama Temburong menjuarai Kejohanan Futsal Kementerian Hal Ehwal Agama (KHEU) dan Jabatan-Jabatan di bawahnya bagi tahun 2017, yang diadakan di Dewan Serba Guna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, hari ini.

    Dalam perlawanan akhir kejohanan futsal itu, Pasukan Pejabat Hal Ehwal Ugama Temburong berjaya menewaskan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), yang menyaksikan ketangkasan penjaga gol Pejabat Hal Ehwal Ugama Temburong berjaya menepis dua sepakan penalti KUPU SB. Manakala di tempat ketiga disandang oleh Pasukan Jabatan Pusat Dakwah Islamiah.

    Menyaksikan perlawanan akhir Kejohanan Futsal KHEU dan hadir selaku tetamu kehormat ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud, yang seterusnya berkesudian menyampaikan hadiah-hadiah kepada para pemenang dan pasukan-pasukan yang menyertai kejohanan kali ini.

    Turut hadir bagi menyaksikan dan memberikan sokongan kepada pasukan-pasukan bertanding ialah Pemangku Setiausaha Tetap KHEU, Haji Harun bin Haji Junid, timbalan-timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan serta pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai dan kakitangan KHEU dan Jabatan-Jabatan dibawahnya.

    Tetamu kehormat bergambar bersama juara Kejohanan Futsal KHEU, Pejabat Hal Ehwal Ugama Temburong.
    Tetamu kehormat bergambar bersama juara Kejohanan Futsal KHEU, Pejabat Hal Ehwal Ugama Temburong.

    Kejohanan yang dianjurkan bersama oleh Jabatan Pentadbiran, Jabatan Hal Ehwal Masjid dan Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) ini disertai oleh 20 pasukan yang dibahagikan kepada empat kumpulan dan telah berentap di peringkat saringan bagi merebut peluang untuk mara ke peringkat suku akhir dan seterusnya ke peringkat separuh akhir dan perlawanan akhir kejohanan.

    Menurut kenyataan penganjur, kejohanan ini diadakan adalah untuk mencari pemain-pemain yang berpotensi untuk mewakili KHEU bagi sukan bola sepak antara kementerian-kementerian, di samping menggalakkan pegawai dan kakitangan kementerian ini agar aktif bersukan, demi untuk menjaga kesihatan tubuh badan, kecergasan fizikal dan mental, menanam dan memupuk semangat kesukanan, semangat setia kawan, serta menimbulkan perasaan ukhuwah di kalangan pegawai dan kakitangan kementerian.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda