Oleh Hasrulraizan
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Sept – Lapan buah pasukan mengesahkan kemaraan mereka dalam Piala Jubli Emas Futsal Brunei (GJBFC) 2017 selepas muncul sebagai dua pasukan terbaik dalam kumpulan masing-masing hari ini.
Pasukan-pasukan itu ialah Shah United dan Redbutterfly dari Kumpulan F, Brunei 88 A FT dan Matahari ‘A’ dari Kumpulan E, ISC dan FFC dari Kumpulan D, serta Matahari ‘B’ dan Kota Junior dari Kumpulan C.
Shah United menjuarai Kumpulan F dengan lima mata, disusuli Redbutterfly dengan empat mata. PES walaupun turut meraih empat mata, gagal mara kerana hanya menjaringkan dua gol berbanding Redbutterfly yang meledakkan tiga gol. Pegastar di tempat keempat dengan tiga mata.
Kumpulan E menyaksikan kedua-dua pasukan: Brunei 88 A FT dan Matahari ‘A’ sama-sama mengumpul lapan mata dan sembilan gol, namun Brunei 88 A FT hanya bolos dua kali berbanding Matahari ‘A’, tiga bolos. Tiga lagi pasukan dalam Kumpulan E ialah ADP SS, DST dan B-Team.
Mengungguli Kumpulan D pula ialah ISC yang berjaya mencatat tujuh mata, sementara FFC mengalahkan Street United 2-0 di perlawanan terakhir hari ini untuk menduduki tangga kedua dengan enam mata. Street United di tempat ketiga dengan empat mata, manakala One Team FT di tangga tercorot.

Kumpulan C menepati gelarannya sebagai ‘Kumpulan Maut’ apabila pasukan-pasukan yang menampilkan pemain-pemain terkemuka tanah air iaitu Creativol, Matahari ‘B’, HS FT AMCSK, Kota Junior dan Metamen Vamos FT bersaing sengit merebut dua tempat teratas.
Matahari ‘B’ walaupun kalah 0-1 kepada HS FT AMCSK dalam perlawanan pertamanya, bangkit untuk menang 1-0 tiga kali berturut-turut selepas itu bagi mengumpul sembilan mata, dua mata di depan Kota Junior di tempat kedua. HS FT AMCSK meraih enam mata, Metamen Vamos FT mengumpul empat mata, sementara Creativol mencetak tiga mata.
Kejohanan yang berlangsung di Dewan Serba Guna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah itu akan diteruskan pada Ahad depan, 1 Oktober dengan perlawanan-perlawanan dalam Kumplan A, B, G dan H bagi mencari lapan lagi pasukan yang mengisi slot pusingan kedua.
Sejumlah 35 buah pasukan menyertai kejohanan anjuran Jabatan Daerah Brunei dan Muara, dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, dan NFABD berkenaan.
Kejohanan dianjurkan bersempena dengan Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menaiki takhta.