G20: kongsi inisiatif pendidikan, buruh

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JUN – Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong dan Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman, semalam, telah menghadiri Mesyuarat Bersama G20 bagi Menteri-menteri Pendidikan dan Menteri-menteri Buruh dan Pekerjaan yang diadakan secara maya.

Sebagai pengerusi Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) bagi 2021, Brunei Darussalam dijemput sebagai tetamu khas Republik Itali yang memegang jawatan Presiden G20 bagi 2021. Mesyuarat bersama itu diadakan selepas Mesyuarat G20 bagi Menteri-menteri Pendidikan pada hari yang sama.

Mesyuarat Bersama G20 bagi Menteri-menteri Pendidikan dan Menteri-menteri Buruh dan Pekerjaan diwakili oleh menteri-menteri, timbalan-timbalan menteri dan wakil-wakil dari sektor pendidikan dan pekerjaan. Turut hadir ialah wakil Singapura, Sepanyol dan Belanda sebagai tetamu khas untuk mesyuarat-mesyuarat G20.

Selain itu, pertubuhan serantau dan antarabangsa seperti Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO), Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), World Bank dan Kesatuan Afrika (AU) turut menghadiri mesyuarat bersama itu. Sebagai sebahagian daripada agenda mesyuarat tersebut, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah berpeluang untuk berkongsi beberapa inisiatif yang dilaksanakan oleh ASEAN dan Kementerian Pendidikan Brunei Darussalam mengenai isu peralihan daripada sekolah ke tempat kerja.

Yang Berhormat Menteri Pendidikan turut mengucapkan tahniah kepada Itali atas kejayaan kepimpinannya dalam mesyuarat-mesyuarat berkenaan dan menyokong Deklarasi Bersama G20 mengenai peralihan dari sekolah ke dunia pekerjaan yang menandakan komitmen G20 dalam bidang pekerjaan.

Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar semasa menghadiri Mesyuarat Bersama G20 secara maya kelmarin.