NEW DELHI, 10 SEPT – Perdana Menteri India, Narendra Modi, mengakhiri sidang kemuncak G20 hari ini yang kurang menekankan perpecahan mendalam berhubung perang di Ukraine dan perubahan iklim, tetapi memberikan momen penting dalam tumpuan diplomatik.
Negara-negara G20 telah berselisih mengenai perang Ukraine sejak pencerobohan Moscow tahun lalu, dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin, sepenuhnya mengelak sidang kemuncak itu untuk menghindari kecaman politik.
Pemimpin-pemimpin Kumpulan G20, yang menghimpunkan Rusia dan China serta beberapa penyokong paling tegar Ukraine, baru-baru ini menghadapi kesulitan untuk bersetuju mengenai banyak perkara, terutamanya berhubung serangan 18 bulan itu.
Menghadapi rasa malu diplomatik yang besar, India sebagai tuan rumah mendesak ahli-ahli G20 supaya bersetuju pada kenyataan bersama pada Sabtu yang mengecam penggunaan kekerasan untuk mendapatkan keuntungan wilayah, namun enggan mengkritik Rusia secara langsung.
Kyiv berkata G20 “tiada apa yang boleh dibanggakan” tetapi Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov, yang mewakili Putin pada mesyuarat itu, mendakwa kemenangan diplomatik hari ini.
“Kami berjaya menghalang percubaan Barat untuk memonopoli agenda ‘Ukraine’ padasidang itu,” kata diplomat veteran sambil menggelar pertemuan dua hari itu sebagai ‘kejayaan’.
“Teks itu tidak menyebut Rusia sama sekali.”
Hari ini, Modi secara rasmi menutup sidang kemuncak dengan menyerahkan tukul kayu upacara kepada Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva, yang negaranya akan mengambil alih jawatan presiden pada bulan Disember.
“Kita tidak boleh membiarkan isu-isu geopolitik menghalang agenda perbincangan G20,” kata Lula, merujuk secara tidak langsung kepada perbalahan mengenai perang Ukraine.
“Kami tidak mempunyai kepentingan dalam G20 yang berpecah-belah. Kami memerlukan keamanan dan kerjasama dan bukannya konflik.” – AFP
