Wednesday, April 24, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    G3 Global peroleh kontrak bangunkan sistem keselamatan KLIA

    KUALA LUMPUR, 5 MEI – G3 Global Bhd akan bekerjasama dengan syarikat tersenarai di Hong Kong, SenseTime, untuk mereka bentuk dan membangunkan sistem keselamatan bersepadu lapangan terbang  (AIS3) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 bagi kontrak bernilai RM118.38 juta.

    Pakar kecerdasan buatan (AI) itu berkata kontrak tersebut yang diperoleh pada 15 April daripada anak syarikat Malaysia Airports Holdings Bhd, Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd, merupakan yang terbesar sejak penyusunan semula perniagaannya dan juga projek arkitek induk pertama dalam kalangan 10 lapangan terbang utama dunia. 

    G3 Global dalam satu kenyataan hari ini berkata ia akan memanfaatkan keupayaan AI miliknya dan pengetahuan meluas industri syarikat perisian AI, SenseTime, untuk membangunkan platform bersepadu canggih bagi menambah baik keseluruhan keupayaan keselamatan dan pengurusan keselamatan.

    Pengarah Urusan G3 Global, Dirk Quinten berkata pasca pembukaan semula sempadan antarabangsa, trafik di kedua-dua KLIA dan klia2 dijangka pulih semula, justeru, lapangan terbang ini amat memerlukan sistem pengurusan keselamatan pintar yang canggih.  

    “AIS3 akan menjadi kunci dalam mentransformasikan KLIA dan klia2 menjadi lapangan terbang bertek-nologi tinggi, bagi persediaan yang lebih baik untuk mengendalikan lebih ramai penumpang pada masa depan,” katanya. – Bernama

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...