G7 bincang impak COVID-19

PARIS, 3 MAC – Menteri-menteri kewangan Kumpulan Tujuh (G7) dan ketua bank pusat telah mengadakan perbincangan mengenai impak koronavirus (COVID-19) berikutan kebimbangan mengenai wabak itu yang menjejaskan kestabilan ekonomi global.

Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), Steven Mnuchin dan Pengerusi Rizab Persekutuan, Jerome Powell mengetuai pertemuan itu hari ini bersama rakan-rakan G7 mereka, jabatan itu mengesahkan dalam satu kenyataan.

Kerajaan kini sedang berusaha untuk mengambil langkah terhadap wabak yang kini telah meragut nyawa lebih daripada 3,100 orang, termasuk enam di Amerika Syarikat, dan menjangkiti lebih dari 90,000 selepas wabak itu mula menular di seluruh dunia, menimbulkan kebimbangan terhadap gangguan ekonomi secara meluas.

Pegawai kewangan utama di Eropah juga cuba meredakan kebimbangan terhadap kemerosotan ekonomi akibat penularan wabak itu seperti yang dilakukan bank pusat lainnya.

“Kami bersedia mengambil langkah-langkah bersesuaian yang telah dirancang untuk menangani situasi ekonomi akibat wabak ini,” kata ketua Bank Pusat Eropah, Christine Lagarde dalam satu kenyataan.

Gambar fail pada 12 Februari lalu menunjukkan Steven Mnuchin ketika menghadiri mesyuarat di Capitol Hill, Washington. – AFP

Canselor Britain, Rishi Sunak menyuarakan komennya kelmarin sebagai berkata: “Kami bersedia untuk menghadapi ancaman global ini dan tatkala keadaan ekonomi terjejas menjadi lebih jelas, kami bersedia untuk mengumumkan sokongan selanjutnya jika diperlukan.”

Powell pada hari Jumaat mengeluarkan kenyataan bahawa “The Fed akan menggunakan khidmat kami dan bertindak mengikut kesusuaian untuk menyokong ekonomi.”

Menteri-menteri kewangan zon euro juga akan mengadakan pertemuan pada persidangan esok.

“Tindakan akan diselaraskan,” kata Menteri Kewangan Perancis, Bruno Le Maire.

Pengumuman AS itu sekali gus menjadikan Wall Street, kembali pulih selepas minggu terburuk sejak 2008, apabila turun 12.4 peratus, dengan Indeks Perindustrian Dow Jones me-lonjak 5.0 peratus. – AFP