LONDON, 17 DIS – Kumpulan G7 menyifatkan varian baharu COVID-19, Omicron, sebagai ancaman terbesar kepada kesihatan awam global ketika ini, sekali gus menegaskan amat penting untuk negara di dunia bekerjasama rapat memeranginya.
Pengerusi kumpulan itu, Britain dalam satu kenyataan semalam, memaklumkan bahawa Menteri Kesihatan G7 sangat bimbang akan lonjakan penularan virus berkenaan,
“Menteri terbabit bersetuju perkembangan ini harus dilihat sebagai ancaman terbesar kepada kesihatan awam global ketika ini.
“Justeru itu, adalah jauh lebih penting berbanding sebelum ini untuk saling bekerjasama rapat, melakukan pemantauan serta berkongsi data,” katanya.
Terdahulu, Menteri Kesihatan G7 menyertai mesyuarat dihoskan Britain, dengan memfokuskan isu akses global terhadap diagnostik, penjujukan genom, vaksin dan terapeutik dalam usaha mengekang penularan virus berkenaan.
“Mereka juga bersetuju mengenai semakin pentingnya kempen suntikan dos penggalak vaksin COVID-19, ujian secara tetap dan pelaksanaan berterusan langkah bukan farmaseutikal,” menurut kenyataan itu lagi. – AFP