SAN FRANCISCO, 13 Okt – Gabenor California Jerry Brown menzahirkan rasa simpati beliau terhadap mangsa kebakaran hutan yang sedang merebak dengan pantas di negeri itu dan akan melawat kawasan terjejas tidak lama lagi ketika jumlah kematian meningkat kepada 29 orang, lapor agensi berita China Xinhua memetik laporan media tempatan.
Laporan itu memetik kenyataan jurucakap beliau Evan Westrup bahawa gabenor tersebut bercadang melakukan perjalanan ke zon kebakaran, namun bukan serta-merta bagi membolehkan segala sumber kritikal yang ada dapat digunakan sepenuhnya untuk memadamkan api.
“Fokus kami adalah menggunakan setiap sumber yang ada di mana mereka paling diperlukan, dan bukan menarik mereka untuk bergambar dengan gabenor,” kata Westrup.
Dua puluh dua kebakaran sedang merebak di lapan daerah di Utara California, menjadikan ia antara bencana paling buruk dalam sejarah negeri itu.
“Tugas kami jauh daripada selesai. Kebakaran di sesetengah tempat sudah mula dapat dikawal. Bagaimanapun api masih menyala dan angin boleh bertiup kencang pada bila-bila masa. Keadaan bukanlah setenang yang kami inginkan. Beberapa hari berikutnya adalah yang paling serius untuk California,” kata Brown.
Lebih 8,000 anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan api terutama di kawasan barat Teluk California, namun angin kencang dan kelembapan rendah yang diramalkan berlaku dalam tempoh beberapa hari berikutnya bakal mencabar usaha anggota bomba untuk mengawalnya, dan akan meningkatkan risiko berlaku kebakaran baharu.
Menurut laporan media, sekurang-kurangnya 3,500 kediaman dan premis perniagaan telah musnah manakala lebih 190,000 ekar kawasan hutan terbakar sejak kebakaran mula berlaku pada lewat Ahad. – Bernama