Gabenor Somalia maut dalam serangan nekad

MOGADISHU, 30 MAC – Seorang gabenor di Puntland, Somalia telah terbunuh dalam serangan nekad yang didakwa dilakukan oleh kumpulan jihad al-Shabaab, menurut sumber pihak polis dan hospital hari ini.

Abdisalan, Hassam Hersi, gabenor di rantau Nugaal, meninggal dunia disebabkan oleh kecederaan selepas dikejarkan ke hospital di Garowe, ibu kota Putland di mana letupan itu berlaku kelmarin.

“Doktor cuba untuk menyelamatkan nyawa gabenor tetapi malangnya beliau meninggal dunia atas kecederaan yang dialaminya,” kata Mohamed Weli, pegawai polis di Puntland, memberitahu AFP melalui telefon.

“Beliau dalam keadaan kritikal semasa dirawat di hospital.”

Menurut sumber hospital, gabenor meninggal dunia kurang dari satu jam selepas dimasukkan ke hospital di wad unit rawatan rapi.

“Beliau cedera teruk dalam serangan tersebut dan beliau mempunyai peluang yang tipis untuk diselamatkan,” menurut sumber kepada AFP.

Bekas komander polis dan seorang penduduk awam turut tercedera dalam serangan tersebut dan dirawat di hospital, pegawai berkata hari ini.

Beberapa orang saksi memberitahu penyerangnya berlari meluru ke arah kenderaan kerajaan sebelum meletupkan jaket berisi bahan letupan, sehingga menyebabkan ledakan. – AFP