Gabenor Tokyo gesa penduduk bercuti di rumah

TOKYO, 22 JULAI – Gabenor Tokyo hari ini menggesa penduduk di ibu negara Jepun untuk sentiasa berada di rumah pada hujung minggu percutian empat hari yang akan datang, selepas jumlah kes koronavirus tempatan meningkat.

Bandar ini berada di tahap amaran tertinggi koronavirus, dengan pakar memberi amaran jangkitan dilihat merebak dengan cepat dan meluas.

“Jangkitan merebak bukan hanya dalam kalangan orang muda tetapi juga di kalangan usia pertengahan dan warga emas,” kata Gabenor Tokyo Yuriko Koike dalam pertemuan dengan pakar penyakit berjangkit.

“Saya ingin menyeru (penduduk Tokyo) sedaya upaya untuk tidak keluar rumah, terutama warga emas dan mereka yang mempunyai simptom-simptom kurang sihat,” katanya menjelang cuti hujung minggu.

Tokyo mencatat rekod jangkitan harian baharu sebanyak 293 kes minggu lalu, dan angka tersebut berada di atas 200 dalam beberapa hari terakhir.

Koike mengatakan bandar itu berdepan dengan penularan jangkitan di kawasan-kawasan seperti restoran dan pawagam, bukan hanya kawasan hiburan malam seperti minggu-minggu sebelumnya. Kluster baharu juga telah dilaporkan di tempat kerja dan sekolah.

Jepun mencatatkan lebih dari 26,300 kes dan hampir 1,000 kematian sejak penyakit ini pertama kali dikesan di negara itu. Jepun akan memulakan percutian empat hari dari hari Khamis, dengan hari Jumaat merupakan hari yang sepatutnya Sukan Olimpik Tokyo 2020 dibuka, tetapi kini ditangguhkan. – AFP

Orang ramai memakai penutup mulut dan hidung semasa menggunakan eskalator di stesen kereta api Yokohama berhampiran Tokyo kelmarin. Gabenor Tokyo kelmarin menggesa penduduk di ibu negara Jepun untuk sentiasa berada di rumah pada hujung minggu percutian empat hari yang akan datang. – AP