NEW DELHI, 6 MEI – Gabenor wilayah Punjab Pakistan, Omar Sarfraz Cheema meminta bantuan ketua tentera untuk mengusir Ketua Menteri baharu Hamza Shehbaz.
Omar, menyifatkan pelantikan dan angkat sumpah Hamza sebagai ketua menteri Punjab baru-baru ini “tidak mengikut perlembagaan dan menyalahi undang-undang.”
Gabenor menerusi ciapannya di Twitter pada Khamis berkata jika Panglima Tentera Darat Jeneral Qamar Javed Bajwa enggan bertindak, beliau secara peribadi akan mengambil tindakan agar “ketua menteri palsu” itu ditangkap dan dipenjarakan.
Hamza, anak kepada Perdana Menteri Shehbaz Sharif, dan mengangkat sumpah sebagai ketua menteri pada 30 April dalam satu majlis atas perintah mahkamah.
Speaker Dewan Negara Raja Pervaiz Ashraf mengelola majlis angkat sumpah Hamza di kediaman gabenor di Lahore susulan Omar enggan mengendalikan majlis itu dan Presiden Pakistan Arif Alvi tidak mengendahkan arahan Mahkamah Tinggi Lahore agar melantik wakil bagi menjalankan tugas itu.
Gabenor itu juga turut mengemukakan aduan terhadap Mahkamah Tinggi Lahore kepada Majlis Kehakiman Tertinggi (SJC), menurut laporan media Pakistan.
Beliau menuduh Hamza mengambil kesempatan selaku anak perdana menteri untuk dipilih sebagai ketua dalam badan perundangan wilayah dengan sokongan birokrasi Punjab. – Bernama