Gabriel pilih Arsenal

LONDON, 2 SEPT – Gabriel Magalhaes berkata pengaruh pengurus Arsenal, Mikel Arteta dan Pengarah Teknikal, Edu meyakinkannya untuk menyertai The Gunners selepas melengkapkan perpindahan yang dilaporkan bernilai AS$30 juta dari Lille.

Pertahanan berusia 22 tahun itu juga menjadi buruan Manchester United dan Napoli selepas beraksi cemerlang bersama Lille yang menamatkan saingan Ligue 1 di kedudukan keempat. Kehadiran Gabriel menambahkan lagi bilangan pemain Brazil di kelab berkenaan sejak bekas pemain tengah Edu meninggalkan tugasnya sebagai penyelaras pasukan kebangsaan Brazil untuk menjadi pengarah teknikal tahun lalu.

Arteta, yang membawa The Gunners meraih Piala FA dan Perisai Komuniti pada sembilan bulan pertama menjadi jurulatih, juga menyebabkan Gabriel membuat keputusan muktamad.

“Edu dan saya sudah berbincang mengenai Arsenal dan projek baharu, kami melalui beberapa perbincangan yang sempurna. “Selepas hari demi hari saya menjadi sangat teruja, selepas itu menerima panggilan daripada jurulatih dan ia sangat meyakinkan.

“Dapat bercakap sendiri dengan jurulatih yang berkata dia mahukan anda dalam skuad memang menaikkan motivasi anda. Ia adalah sebab utama mengapa saya berada di sini.

“Kami tidak bercakap mengenai perkara yang sangat mendalam, beliau hanya memberitau saya mengenai kualiti serta kemampuan saya. Dia mengharapkan sesuatu daripada saya,” katanya.

Walaupun berjaya dalam saingan merebut trofi, Arteta dalam usaha untuk memperkukuhkan bahagian pertahanan selepas mereka menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu di tangga kelapan, kedudukan paling rendah sejak 1994/95. Gabriel akan menyertai pemain antarabangsa Brazil, David Luiz dan Willian. – AFP

Gambar fail pada 4 November 2019 menunjukkan Gabriel ketika menghadiri sidang media di Stadium Mestalla di Valencia. Arsenal melengkapkan perpindahan Gabriel Magalhaes daripada kelab Perancis, Lille, dengan nilai AS$30 juta. – AFP