Gabungan ideal ais cendol Kampung Kupang

Oleh Ak Zaki Kasharan

“Aku mau satu! Eh dualah karang inda ku puas minum.. sudah pun jauh ku kan ke sini, bukannya selalu kan lagipun nyaman banar bah!”

Kedengaran dialog salah seorang pelanggan yang singgah ke gerai cendol yang terletak di tepi jalan raya berdekatan sebuah kedai runcit di Kampung Kupang, Tutong ketika membuat pesanan bagi cendol yang tular dalam media sosial.

Cendol yang sudah semestinya dikenali ramai dan tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat di negara ini dan juga di rantau Nusantara merupakan hidangan penghilang dahaga yang digemari ramai.

Kebiasaannya cendol diperbuat daripada tepung beras yang dimasukkan ke dalam air santan yang segar menjadikannya digemari ramai dari peringkat kanak-kanak sehinggalah golongan warga emas.

Kelazatan sensasi cendol yang dinamakan ‘Ice Cendol Bhan3bois’ Kampung Kupang, Tutong telah ditularkan dalam media sosial awal tahun ini dengan kecanggihan teknologi di hujung jari masa kini, penggemar makanan akan pantas menyebarkannya terutama pemburu-pemburu hidangan baharu.

Ice Cendol Bhan3bois menggabungkan cendol dan serbuk biskut oreo yang memberi rasa yang ideal.

Meskipun lokasi gerainya yang terletak jauh, gerai berkenaan jelas tidak sama sekali kelihatan lengang.

Malahan gerai mereka kerap kali dikunjungi oleh para pelanggan yang singgah atau sengaja untuk ke sana semata-mata merasai kelainan cendol mereka.

Dari apa yang dapat diperhatikan, terdapat sedikit perbezaan atau keunikan yang terdapat dalam campuran cendol berkenaan yang menyebabkannya disukai ramai.

Baru-baru ini, penulis berkesempatan mengunjungi gerai cendol tersebut untuk merasai sendiri keistimewaan minuman viral itu.

Ternyata setelah memesan cendol tersebut penulis mendapati resipi istimewa cendol yang mereka hasilkan mengandungi campuran serbuk oreo iaitu sejenis biskut hitam yang dihancurkan menjadi serbuk yang kemudiannya diletakkan di atas permukaan cendol berkenaan.

Setelah digabung dan dicampurkan cendol serta serpihan biskut oreo, rasa cendol menjadi lebih enak disebabkan terdapatnya sedikit rasa lemak masin yang datang daripada biskut tersebut.

Hasilnya benar-benar tidak terduga apabila cendol yang pada kelazimannya dimakan begitu saja dan kemudiannya dicampurkan dengan serbuk roti oreo menjadi satu gabungan yang serasi dan ideal.

Tidak hairanlah gerai yang dibuka awal tahun 2020 ini berjaya menggamit hati ramai pelanggannya untuk tetap kembali datang setiap kali melewati gerai tersebut.

Gerai berkenaan dibuka pada setiap hari bermula pagi hingga malam kecuali hari Jumaat dan Ahad yang hanya dibuka pada sebelah petang dan malam.

Dalam usaha untuk menyokong produk keluaran anak-anak dan pengusaha tempatan tanah air ini sendiri, tidak rugi rasanya untuk berbelanja $2 untuk mencuba rasa sensasi cendol tersebut.