Gabungan Kreativiti cetus inovasi kulinari

Oleh Nurdiyanah R.

Sebut sahaja mengenai buah kelapa, pasti terbayang di minda akan kenikmatan air kelapa yang rasanya segar dan sedikit manis, malah isinya yang berwarna putih susu lembut kenyal itu mengandungi khasiat yang baik untuk kesihatan.

Dalam bidang gastronomi, sumber daripada buah kelapa muda mahupun kelapa tua seperti air, isi dan santan dapat dijadikan bahan-bahan asas dalam menciptakan keunikan kulinari yang luar biasa.

Berbicara tentang kulinari, ia adalah suatu seni yang membabitkan bidang masakan, penyediaan makanan, pastri atau kek dan banyak lagi yang berkaitan dengan aktiviti masakan.

Maka untuk menghasilkan sesuatu hidangan perlu ada ilmu kulinari yang harus diterokai lebih-lebih dalam menghasilkan hidangan istimewa dengan sentuhan kreativiti sehingga mampu memukau cita rasa.

“Daya kreativiti dan seni kulinari itu saling memerlukan antara satu sama lain bagi menghasilkan sesuatu hidangan yang unik dan belum pernah dihasilkan sehingga mencetuskan suatu pembaharuan atau inovasi dalam masakan,” ujar Ketua Cef di The Capital Residence Suite, Salleh ketika ditemu bual ringkas berhubung penyertaannya dalam Minggu Gastronomi Brunei, baru-baru ini.

Cef Salleh ketika mengetengahkan tiga hidangan khas bagi mewakili The Capital Residence Suite bersempena Minggu Gastronomi Brunei yang bertemakan ‘All About Coconut’ semasa ditemui penulis baru-baru ini.
Istimewanya hidangan penutup, Chocolate Coconut Pineapple Pudding mengetengahkan kemanisan dan kesegaran air buah kelapa muda asli, keaslian rasa masam daripada buah nenas serta diimbangi pula dengan kelembutan cairan coklat itu sudah setentunya mampu memberikan gabungan keenakan rasa yang tidak terhingga kepada seseorang yang menikmatinya.
Nasi Bento Kianggeh berkonsepkan gabungan tradisi Melayu dan ala hidangan Jepun memiliki keunikan cita rasa yang tersendiri dengan menggunakan bahan asas dari air santan kelapa asli dan isi kelapa parut dengan memuatkan pelbagai masakan khas bagaikan pelengkap sebuah hidangan yang terdiri dari Nasi Lemak Pandan, Sate Ikan Tenggiri Serai, Sayur Kacang Panjang, daging dan Ayam Masak Tumis Berkuah Air Santan Kelapa serta sambal merah.
Dengan keenakan masakan gabungan rasa masin dan pedas, itulah keunikan salah satu hidangan pembuka yang dikenali sebagai Tofu Cheese Boom yang dihasilkan oleh Cef Salleh yang mana isi kelapa parut menjadi salah satu bahan utama dalam resepi hidangan berkenaan.

Dalam temu bual itu, Cef Salleh turut menjelaskan mengenai tiga hidangan istimewa yang diketengahkannya semasa acara tersebut yang semuanya bertemakan segala-galanya tentang kelapa (All About Coconut).

Isi kelapa parut bersama tauhu

Dengan keenakan masakan gabungan rasa masin dan pedas, itulah keunikan salah satu hidangan pembuka yang dikenali sebagai Tofu Cheese Boom yang dihasilkan oleh Cef Salleh yang mana isi kelapa parut menjadi salah satu bahan utama dalam resipi hidangan berkenaan.

Isi kelapa parut yang diadun dalam cincangan tauhu bersama bawang merah dan bawang putih, garam secukupnya serta hirisan daun bawang, daun saderi, keju Mozarella serta cili padi itu diolah sehingga berbentuk bulat dan bujur yang kemudiannya disalut dengan serbuk roti dan juga telur.

Lalu adunan berkenaan digoreng menggunakan api yang sederhana sehingga berwarna keemasan. Terhasilnya hidangan pembuka selera gabungan cita rasa tradisi dan moden yang pastinya semakin enak dinikmati ketika panas-panas dengan dicelup mayones dan sos lada.

Kelapa asli pelengkap resipi hidangan

Manakala sentuhan kulinari yang diketengahkan sebagai hidangan utama (entree) mempunyai kelainan tersendiri dengan namanya sahaja sudah menunjukkan adanya gabungan dua budaya iaitu Nasi Bento Kianggeh, yang mana bahan asasnya menggunakan air santan kelapa asli dan isi kelapa parut.

Hidangan yang berkonsepkan gabungan tradisi Melayu dan ala hidangan Jepun itu memuatkan pelbagai masakan bagaikan pelengkap sebuah hidangan yang terdiri daripada Nasi Lemak Pandan, Sate Ikan Tenggiri Serai, Sayur Kacang Panjang, daging dan Ayam Masak Tumis Berkuah Air Santan Kelapa serta sambal merah.

Sentuhan puding air kelapa muda asli

Bagi hidangan penutup atau pencuci mulut, cef telah menampilkan sejenis puding berasaskan air kelapa muda asli bersama potongan buah nenas segar yang disaluti coklat cair yang sememangnya begitu enak dinikmati dalam keadaan sejuk.

Diberi nama Chocolate Coconut Pineapple Pudding, Cef Salleh menjelaskan bahawa beliau telah menampilkan pelbagai elemen dalam hidangan ini yang menjadikannya lebih istimewa di mata pelanggannya.

“Dengan adanya kemanisan dan kesegaran air buah kelapa muda asli, keaslian rasa masam daripada buah nenas serta diimbangi pula dengan kelembutan coklat itu sudah setentunya mampu memberikan gabungan keenakan rasa yang tidak terhingga kepada seseorang yang menikmatinya, lebih-lebih lagi sebagai juadah penu-tup,” ujar beliau lagi.

Meskipun pertama kali mengikuti cabaran dunia kulinari dalam Minggu Gastronomi Brunei pada tahun ini, beliau berharap industri kulinari tanah air akan sentiasa mendapat tempat di hati masyarakat di negara ini secara berterusan, semasa mengakhiri sesi temu bual bersama Media Permata.