Gabungan ramuan kekalkan kelazatan sajian Nyonya

Masakan Melayu seperti rendang tok, kari kepala ikan, nasi kerabu, asam pedas mahupun kuih-muih tradisional antara hidangan popular dan boleh diterima pelbagai bangsa.

Hidangan berkenaan juga antara sebahagian daripada menu masakan tradisional masyarakat Nyonya yang memiliki banyak persamaan dalam semua aspek antaranya rasa, pembuatan, bahan dan khasiatnya.

Jika dilihat kebanyakan restoran yang menyediakan masakan tradisional ini memang kurang dikunjungi generasi muda yang lebih terdedah dengan restoran dengan masakan dan dekorasi gaya hipster atau urban.

Menyedari masih ramai meminati sajian berkenaan, Restoran Kakatoo, di Ativo Plaza, Damansara Avenue, Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya, melengkapi permintaan terkini, menyediakan makanan tradisional Nyonya dengan gabungan menu daripada bahan terkini.

Pengarah Urusannya, Joyce Cheng, berkata sejak pembukaan cawangan pertamanya pada 2012, beliau mengharapkan makanan tradisional itu tidak dipinggirkan generasi muda kerana mereka lebih terdedah kepada sajian moden.

“Kami menyediakan lebih 70 menu makanan tradisional dan moden. Menariknya setiap makanan tradisional Nyonya digabungkan dengan bahan pembuatan moden yang lebih menyerlahkan gaya persembahan makanan itu, namun tidak meminggirkan kualiti rasa asli turun-temurun.

“Masakan Nyonya Kampung Nasi Kerabu menggabungkan pelbagai lauk dan sayur tambahan dengan hiasan pelbagai warna di atasnya bagi menyerikan lagi makanan itu.

“Menu Makcik Nyonya iaitu hidangan fish & chip yang digabungkan dengan bamboo charcoal crepe ditambah kerabu mangga. Semua menu kombinasi makanan tradisional dan moden yang menepati cita rasa,” katanya sambil menjelaskan kakatoo itu adalah permainan warna-warni yang sinonim dengan masyarakat nyonya.

Menu lain juga disediakan seperti rendang tok, curry kapitan grouper fish head, asam pedas ming prawn, two style kailan dan kuih-muih. – Agensi

Joyce Cheng (kiri) bersama ibunya, Irene Then menunjukkan sebahagian daripada masakan nyonya yang terdapat di Restoran Kakatoo. – Agensi