Saturday, October 5, 2024
27.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gabungan seni bela diri dan muzik jadikan Capoeira unik

    Oleh Norhayati Mohd Akhir

    KUALA LUMPUR – Ketika mula melibatkan diri dalam aktiviti Capoeira kira-kira 13 tahun lepas, Farezza Hanum Rashid terpaksa berdepan situasi mencabar kerana seni bela diri itu dianggap bertentangan dengan ajaran Islam.

    Selain itu, tidak ramai wanita ketika itu yang berminat dengan Capoeira, seni bela diri dari Brazil yang menggabungkan elemen pertahanan diri, tarian, akrobatik dan muzik.

    Namun, Farezza, 34, memilih meneruskan aktiviti Capoeira pada 2006 ketika masih menuntut di sebuah universiti di Gombak, dan mencari maklumat mengenai seni bela diri itu bagi membuktikan ia tidak bercanggah dengan agama.

    Wartawan muda itu berjaya membuktikan bahawa seni bela diri itu – yang diperkenalkan 500 tahun lepas – dapat meningkatkan disiplin dan kecergasan diri tanpa melalaikannya daripada aspek kehidupan, kerjaya dan ibadat, malah semakin diterima oleh kalangan rakyat Malaysia.

    Farezza, yang menulis untuk majalah permotoran, kini memiliki sebuah mini studio di Kelana Jaya, Selangor di mana beliau mengendalikan kelas pada setiap Isnin dan Rabu selepas waktu kerja.

    Capoeira juga unik kerana ia tidak menggunakan sebarang senjata dalam pergerakannya memandangkan tubuh manusia mampu menjadi senjata. – Agensi
    Capoeira adalah sesuai untuk semua peringkat umur dan pernah mengajar kanak-kanak berusia 3 tahun serta warga emas berumur 60an tahun. – Agensi

    Minat seni bela diri, sukan lasak

    Wanita berasal dari Johor itu amat meminati seni bela diri sejak di bangku sekolah lagi dengan bergiat aktif dalam seni silat Ganda pada 1998 sehingga mewakili negeri kelahirannya dalam Sukan Malaysia (SUKMA) pada 2002, 2004 dan 2006.

    Walaupun sekadar merangkul pingat gangsa untuk setiap tahun yang diwakilinya, beliau tidak pernah patah semangat untuk terus aktif dalam seni bela diri untuk dimanfaatkan diri sendiri sebagai pertahanan diri.

    “Memang dari kecil sangat berminat dengan seni bela diri. Sebelum saya mencuba Capoeira, saya mempelajari taekwondo, silat tetapi Capoeira memang sangat berlainan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

    Memandangkan beliau suka mencuba cabaran baharu, Farezza tidak menyangka ‘jatuh cinta’ dengan Capoeira selepas kali pertama mempelajarinya.

    Faktor itu juga mendorongnya untuk mempelajari Jiu-jitsu Brazil, seni bela diri Arnis dari Filipina, tinju serta sukan lasak pacuan empat roda selain mendaki gunung.

    “Malah saya juga menyertai acara SheMud 2018 pada November lepas,” katanya.

    Terus serius aktif Capoeira

    Farezza, yang membuka mini studio itu pada 2013, berkata seperti seni bela diri yang lain, Capoeira juga mempunyai tahap tertentu.

    Selepas kira-kira 11 tahun bergiat dalam Capoeira, beliau mencapai tahap ‘Monitor’ pada 2017.

    “’Monitor’ adalah tahap paling rendah sebagai jurulatih tetapi ia menjadi batu loncatan bagi saya untuk terus aktif membantu perkembangan seni bela diri itu di negara ini. Saya juga gembira kerana dapat mengajar orang lain tentang Capoeira,” katanya.

    Menurutnya Capoeira adalah sesuai untuk semua peringkat umur dan pernah mengajar kanak-kanak berusia 3 tahun serta warga emas berumur 60an tahun.

    “Pelbagai kaum juga belajar seni bela diri itu di studio saya dan nampaknya lelaki lebih ramai berbanding wanita.

    “Perkembangan setiap orang berbeza ikut kemampuan atau gaya sendiri. Kami tidak paksa semua untuk mencapai tahap sama,” jelasnya.

    Iringan muzik

    Farezza, yang bergabung tenaga dengan rakan-rakannya membuat persembahan Capeoira di pelbagai lokasi sebagai langkah promosi, mengakui bahawa seni bela diri itu semakin mendapat tempat di Malaysia.

    “Mereka yang mempelajari teknik Capoeira bukan sahaja boleh memanfaatkannya untuk mempertahankan diri malah dapat menikmatinya sebagai seni muzik dan tarian,” katanya.

    Menurut beliau setiap sesi latihan juga diiringi peralatan muzik yang mempunyai kaitan dengan Capoeira termasuk dram dan tamburin.

    Capoeira juga unik kerana ia tidak menggunakan sebarang senjata dalam pergerakannya memandangkan tubuh manusia mampu menjadi senjata.

    “Setiap orang perlu mencuba seni Capoeira kerana saya pasti mereka akan kagum dengan kelincahan pergerakan disertai iringan muzik. Ia juga cara mengurangkan tekanan di tempat kerja,” katanya.

    Ditanya mengenai sasaran pencapaian dalam Capoeira, Farezza berkata beliau mahu terus aktif mendalami ilmu seni bela diri itu dan berhasrat untuk ke negara asal Capoeira.

    “Saya juga mahu terus mengunjungi Brazil… kali terakhir saya ke sana ialah pada 2014 di mana saya dan pengamal lain dari seluruh dunia berlatih dengan guru kami.

    “Pengalaman berlatih dengan pengamal Brazil dari semua tahap memang sangat berlainan. Sebab itulah saya mahu ke sana lagi jika diberi peluang,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda