Gadai nyawa demi kelangsungan hidup

GAZA – Akibat peperangan, penindasan dan sekatan yang dikenakan oleh Israel, bertahun-tahun rakyat Palestin dibelenggu dengan pelbagai penderitaan.

Nyawa rakyat Palestin ibarat ‘telur di hujung tanduk’ yang menantikan ‘ketiadaan’ mereka di dunia ini akibat ancaman kezaliman tentera Israel.

Hidup bagai di penjara, setiap langkah diawasi sehinggakan tiada kebebasan untuk menjalani kehidupan harian untuk mencari nafkah demi ahli keluarga. Malah, akibat daripada pelbagai sekatan itu juga bukan hanya mendorong kepada masalah kebuluran malahan pengangguran.

Demi meneruskan kehidupan dan keluarga, rakyat Palestin terpaksa menggadaikan nyawa mereka untuk mencari mata pencarian harian meskipun sudah tahu dalam bahaya. Wesam Abu Musabeh, seorang pemuda berusia 26 tahun, mengusahakan tanah di sepanjang sempadan timur Gaza dengan Israel untuk mencari nafkah, bersama 44 graduan menganggur dari Semenanjung Gaza.

“Sempadan timur antara Gaza dan Israel telah mengubah hidup saya,” kata Abu Musabeh dari kota Khan Younis di selatan kawasan pantai kepada media.

Gambar bertarikh 4 Jun 2020, menunjukkan beberapa orang pemuda Palestin menuai gandum di ladang berhampiran dengan sempadan Israel di selatan Semenanjung Gaza. – Xinhua
Keadaan menunjukkan kesan daripada pengeboman terhadap Semenanjung Gaza. – Agensi
Pemuda Palestin yang berpendidikan tinggi terpaksa membuat kerja-kerja penanaman dalam usaha mereka memberi makan kepada keluarga. – Xinhua
Pemuda Palestin yang berpendidikan tinggi terpaksa membuat kerja-kerja penanaman dalam usaha mereka memberi makan kepada keluarga. – Xinhua

Selama dua tahun, Abu Musabeh pernah mengambil bahagian dalam tunjuk perasaan mingguan yang disertai oleh ribuan rakyat Palestin yang kehilangan harapan dalam hidup.

Para penunjuk perasaan menuntut Israel untuk mengakhiri sekatan yang telah dikenakan terhadap mereka sejak 2007 setelah Hamas merampas kekuasaan, menyebabkan keadaan hidup yang perih. Selepas demonstrasi selama beberapa minggu, tentera Israel yang ditempatkan di sempadan menembak Abu Musabeh dua kali, menyebabkan dia cacat di kaki kiri.

Bagi Abu Musabeh, yang merupakan satu-satunya pencari nafkah bagi 10 ahli keluarganya, kecederaan itu merupakan satu tamparan yang hebat. Pemuda itu telah berusaha mencari pekerjaan dalam beberapa kesempatan tetapi berulang kali gagal.

“Situasi berubah dari yang lebih teruk kepada yang terburuk,” kata Abu Musabeh, sambil menambah “tidak ada pekerjaan, tidak ada keamanan, tidak ada makanan dan tidak ada harapan untuk masa depan yang lebih baik.”

Didorong oleh keadaan kemiskinan, Abu Musabeh mencari jalan penyelesaian. Bersama dengan 44 siswazah yang menganggur, dia pergi lagi ke kawasan perbatasan untuk mengusahakan tanah. Alaa Abu Tair, yang telah menganggur sejak dia lulus pada tahun 2009, adalah salah seorang anak muda yang bergabung dengan Abu Musabeh.

“Bukan sesuatu yang saya impikan. Saya membelanjakan sekitar AS$12,000 dolar untuk pendidikan, tetapi saya tidak mempunyai pekerjaan setelah menamatkan pengajian,” kata bapa kepada tiga anak berusia 31 tahun itu kepada media.

“Sekarang, kami bekerja lapan jam sehari untuk memperoleh AS$15 dolar sahaja, tetapi kami tidak mempunyai pilihan lain,” kata lelaki itu.

Namun, mengusahakan tanah terbukti sukar kerana para pemuda sering menghadapi penembakan tentera Israel jika mereka menghampiri tembok.

Israel mengenakan zon penghalang keselamatan sejauh 300 meter di sepanjang sempadan timur Semenanjung Gaza, menjadikan kawasan pertanian sukar untuk didekati.

Israel mendakwa bahawa langkah itu diperlukan untuk mencegah pemisah bersenjata Palestin melancarkan serangan dari Semenanjung Gaza ke komuniti selatan Israel.

Namun, rakyat Palestin percaya bahawa ini hanyalah kaedah lain yang dapat memperketat penghapusan warga Gaza. Mohammed Abu Lahia, dari kota al-Qarara, adalah seorang pemuda lain yang mengambil risiko dengan mengusahakan tanah yang berdekatan dengan sempadan.

Dia berjalan sekitar lima kilometer sehari untuk mencapai kumpulannnya sebelum menuju ke kawasan timur tempat mereka bekerja di bawah terik musim panas. Lulusan dari Kolej Syariah dan Asas-asas Agama, Abu Lahia telah menganggur sejak tahun 2017, berjuang untuk memberi makan keluarganya.

“Ada tentera terdiri dari lulusan menganggur yang kehilangan harapan,” kata Abu Lahia. “Oleh kerana ada kurangnya keadilan, kita, rakyat Palestin biasa, yang akhirnya membayar harganya,” keluhnya.

Walaupun begitu, para pemuda yang turut serta dalam penanaman percaya bahawa para pemuda Palestin di kawasan pantai yang miskin dapat mengatasi keadaan terburuk untuk mencari nafkah dan memberi makan kepada keluarga mereka.

Pengangguran di Gaza telah mencapai tahap yang belum pernah terjadi sebelumnya setelah Hamas merampas kuasa pada tahun 2007 dan keputusan Israel yang seterusnya untuk mengenakan sekatan penuh di kawasan pantai.

Menurut anggaran, lebih daripada 80 peratus penduduk Gaza menganggur, di antaranya banyak orang muda yang berpendidikan. Sebuah jawatankuasa tempatan yang berpusat di Gaza yang menentang sekatan Israel telah memberi amaran pada bulan Januari bahawa sekatan Israel telah menyebabkan kemerosotan kemanusiaan yang teruk dalam semua aspek kehidupan di Semenanjung Gaza. – Xinhua