Tuesday, October 8, 2024
22.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gadis ‘kuih bulan’ luas empayar perniagaan

    KEMAMAN, 13 Okt – Hanya lapan bulan selepas perniagaan kuih bakulnya menjadi tular di laman sosial, gadis kurang upaya (OKU) ini kini terus melebarkan empayar syarikatnya dengan memulakan operasi di kilang baharu pada bulan lalu.

    Haziqah Nurul Huda Harun, 20, atau lebih mesra dengan panggilan Yaya, berkata beliau melabur sebanyak RM150,000 dengan menggunakan wang simpanan hasil perniagaan selama ini untuk kos operasi kilang yang terletak di Bukit Kuang, Kemaman itu.

    “Alhamdulillah, apabila beroperasi daripada kilang, pengeluaran kuih bakul dan kuih bulan Yaya lebih tersusun dan berjaya menghasilkan kuantiti lebih banyak berbanding ketika Yaya masih beroperasi di rumah dahulu.

    “Fokus ketika ini ialah Yaya mahu mendapatkan sijil pengesahan Makanan Selamat Tanggungjawab Industi (MeSTI) daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.

    “Walaupun kuih bakul dan kuih bulan keluaran syarikat Yaya ini memang menggunakan bahan halal, Yaya tetap mahu mendapatkan sijil pengesahan Halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk lebih mudah menembusi pasaran halal dunia,” kata gadis lumpuh yang bergerak menggunakan kerusi roda ini kepada Bernama hari ini.

    Gadis kurang upaya (OKU) Haziqah Nurul Huda Harun, 20, menunjukkan kuih bulan keluaran kilangnya dan logo baharu produk setelah memulakan operasi di kilang baharu miliknya di Bukit Kuang. – Bernama

    Ketika ini, Yaya memfokuskan pengeluaran kuih bulan berikutan permintaan memberangsangkan dari dalam dan luar negara apabila purata pengeluarannya antara 40,000 hingga 60,000 kuih sebulan.

    Anak keempat daripada lima beradik ini berkata beliau turut meningkatkan ilmu pemasaran dengan mendaftar sebagai pelajar di sebuah akademi pengiklanan laman sosial Facebook dan mendaftar kelas bimbingan seorang mentor usahawan terkenal.

    “Selepas balik daripada kelas, jualan memang melonjak naik hampir lima kali ganda dan Yaya akan terus meningkatkan kemahiran ini untuk mencapai cita-cita Yaya menjadi usahawan muslimah yang disegani.

    “Alhamdulillah, daripada hanya tiga pekerja, kini Yaya sudah mempunyai lapan pekerja yang dapat melancarkan lagi proses pembuatan dan pembungkusan kuih ini,” katanya.

    Kecekalan Yaya mengharungi 1001 cabaran dan ujian dunia perniagaan turut mendapat perhatian pelbagai pihak yang kagum dengan dirinya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda