Gadis maut jambatan runtuh di Perancis

TOULOUSE, 18 NOV – Seorang gadis berusia 15 tahun maut dan beberapa lagi masih hilang dihanyut air sungai selepas sebuah jambatan gantung runtuh di barat daya Perancis hari ini.

Pihak berkuasa berkata, sebuah kereta, trak dan berkemungkinan sebuah lagi kenderaan lain, terjunam ke sungai ketika kejadian.

Empat orang berjaya diselamatkan, namun beberapa lagi dikhuatiri hilang selepas jambatan yang menghubungkan bandar Mirepoix-sur-Tarn dan Bessieres runtuh, kira-kira 30 kilometer ke utara bandar Toulouse, kata Ketua perkhidmatan bomba dan keselamatan tempatan, Etienne Guyot.

Stesen penyiaran tempatan turut menyiarkan imej kereta yang terjunam ke Sungai Tarn yang deras dan helikopter perkhidmatan kecemasan berlegar-legar di udara.

Mayat remaja terbabit berjaya dikeluarkan dari sungai manakala ibunya diselamatkan oleh orang ramai.

Lebih 60 petugas keselamatan termasuk penyelamat dan 40 anggota polis mengambil bahagian dalam usaha mencari dan menyelamat para mangsa yang terlibat dalam kejadian, kata Guyot kepada wartawan. – AFP

Seorang penyelam ketika melakukan operasi menyelamat di kawasan jambatan runtuh, berhampiran Toulouse, kelmarin. – AFP