Saturday, December 10, 2022
22 C
Brunei

-

Gadis OKU kerdil cabar diri sambung belajar

JOHOR BAHRU – Demi mencabar diri lebih berdikari, seorang pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) kerdil mengambil keputusan menyambung pelajaran dalam jurusan Sarjana Muda Psikologi Dengan Pembangunan Manusia di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini.

Nur Hanis Zainalabidin, 19, penghidap pseudoachondroplasia iaitu gangguan pertumbuhan tulang atau kerdil sejak dilahirkan berkata kepercayaan yang diberikan ibu dan bapanya menjadi pembakar semangat sekali gus mengetepikan soal kekurangan dirinya untuk berjaya.

“Ini kali pertama saya masuk asrama dan berjauhan dari keluarga, saya rasa boleh berdikari. Kalau tidak sekarang, bila lagi (berdikari)?” kata anak bongsu daripada empat beradik itu kepada pemberita selepas Sesi Pendaftaran Pelajar Baharu di UTM di sini hari ini.

Gadis berasal dari Parit Sulong, Batu Pahat dengan berketinggian 121 sentimeter (cm) itu berkata pergerakannya adalah terhad dan perlu menggunakan tongkat selain mudah berasa penat jika berjalan lebih daripada 200 meter (m) sehingga kadangkala boleh menyebabkan dirinya mengalami demam.

Bagaimanapun, Nur Hanis berkata keadaan itu tidak menjadi halangan bagi dirinya yang berazam mendapatkan keputusan cemerlang selain bercita-cita untuk berkhidmat dalam bidang sumber manusia.

Sementara itu, Nur Billahizzah Razib, 20, OKU penghidap cerebral palsy kerana gangguan saraf tulang belakang pula teruja serta tidak sabar untuk memulakan pengajian dalam bidang Sarjana Muda Sains Pembangunan Sumber Manusia.

Anak kedua daripada tiga beradik berasal dari Seri Medan, Batu Pahat itu berkata dia boleh berjalan dengan normal, namun mudah berasa penat dan berharap dapat menjalani pengajian di universiti berkenaan dengan lancar.

“Kebiasaannya, saya akan berasa sakit jika terlalu penat seperti lenguh di bahagian belakang badan.

“Syukur saya dapat melanjutkan pengajian di sini kerana setiap tahun saya perlu menjalani pemeriksaan di Hospital Sultanah Aminah (HSA),” katanya. – Bernama

Nur Hanis Zainalabidin (kiri) bersama ibu dan bapanya Zainalabidin Reduan, 58, (kanan) dan Ramlah Musa, 53, (tengah) berjalan ke bilik asrama di UTM Skudai. – Bernama
- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Australia, mangsa terselamat berang pembebasan Patek

SYDNEY, 8 DIS – Mangsa-mangsa letupan bom Bali 2002 berang hari ini selepas seorang daripada pembuat bom dibebaskan dari penjara Indonesia, hanya selepas menjalani...
- Advertisment -