Gaga dinobat artis terbaik, anugerah Tricon

Kumpulan BTS dari Korea Selatan, Lady Gaga dan Ariana Grande menang besar pada Anugerah Muzik Video MTV 2020 (MTV VMA 2020) yang berlangsung secara maya hari ini.

Gaga dinobat Artis Terbaik dan Anugerah Tricon. Manakala lagu kolaborasinya bersama Ariana menerusi Rain On Me memenangi Kategori Lagu Terbaik, Kolaborasi Terbaik dan Sinematografi Terbaik.

BTS pula unggul apabila membawa pulang trofi Pop Terbaik, K-Pop Terbaik, Kumpulan Terbaik, dan Koreografi Terbaik menerusi lagu hit mereka berjudul On.

Sementara, Video Terbaik pula dimenangi The Weeknd menerusi lagu Blinding Lights. Lagu terbabit turut memenangi Kategori R&B terbaik.

MTV VMA 2020 dihoskan Keke Palmer dan menampilkan persembahan daripada BTS, Miley Cyrus, Lady Gaga, The Weeknd, J Balvin, Maluma, Roddy Ricch, Doja Cat dan CNCO.

Acara itu dilangsungkan di beberapa lokasi luar. MTV VMA 2020 asalnya dijadualkan diadakan di Barclays Center, New York, namun dibatalkan kerana pandemik COVID-19. – Agensi

Gambar gabungan video siaran MTV menunjukkan Lady Gaga memakai pelbagai penutup mulut dan hidung semasa Anugerah Muzik Video MTV. – AP