Gagal bayar kompaun $100, didenda $500

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 DIS – Seorang lelaki warga Bangladesh dihukum denda $500 oleh Mahkamah Majistret, hari ini, atas kesalahan membuang sampah rokok dan bekas kad pengisian semula.

Mohiuddin Late Noazali didapati melakukan kesalahan itu di kawasan ibu negara, masing-masing pada 12 April dan 11 Disember 2018, menurut kenyataan dari Jabatan Bandaran.

Gagal membayar denda akan menyebabkannya menjalani hukuman dua minggu penjara.
Tertuduh sebelum ini dikenakan kompaun $100 oleh penguatkuasa Jabatan Bandaran atas kesalahan itu, dan kesnya dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan yang dikuatkuasakan oleh penguatkuasa Jabatan Bandaran di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil, Penggal 30 kerana gagal menjelaskan bayaran kompaun bagi kesalahan di bawah Seksyen 12(1)(A) kerana membuang sampah di tempat awam.

Jabatan Bandaran mengingatkan orang ramai untuk tidak membuang sampah di mana-mana tempat awam dan mengamalkan sikap bertanggungjawab bagi memastikan negara ini sentiasa bersih. Pihak jabatan turut mengalu-alukan sebarang perkongsian maklumat dengan menghubungi talian Darussalam 123 atau 8333123.