Gagal beri kontrak secara bertulis antara kesalahan dikesan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OKT – Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Buruh (LED), telah mengadakan Operasi Sanggah 212/2020 di kompleks membeli-belah Kampung Delima dan Gadong kelmarin, bertujuan untuk menguatkuasakan dan memastikan Perintah Pekerjaan 2009 dipatuhi oleh para majikan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Buruh, di sini, hari ini, pegawai penguat kuasa dari LED menjalankan pemeriksaan ke atas empat buah syarikat kegiatan runcit dan telah mendapati beberapa kesalahan iaitu dipercayai majikan tidak menyediakan kontrak perkhidmatan bekerja secara bertulis kepada pekerja-pekerja tempatan dan gagal memberikan cuti pada hari kelepasan awam seperti yang ditetapkan dalam Perintah Pekerjaan 2009.

Kenyataan menyatakan lanjut bahawa bagi kesalahan yang dimaksudkan iaitu tidak menyediakan kontrak perkhidmatan bekerja secara bertulis kepada pekerja, jika sabit kesalahan Jabatan Buruh akan mengambil tindakan denda kompaun sebanyak $600 bagi kesalahan pertama dan $900 bagi kesalahan kedua.

Manakala itu, bagi kesalahan gagal memberikan cuti pada hari kelepasan awam yang diwartakan kepada pekerja, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda kompaun sebanyak $160 bagi kesalahan pertama dan $320 bagi kesalahan kedua.

Jabatan Buruh dalam kenyataan itu lagi, menyatakan penghargaan kepada orang ramai yang menyalurkan maklumat dalam turut sama membanteras pelanggaran peraturan-peraturan Perintah Pekerjaan 2009 bagi menjaga kesejahteraan dan kebajikan pekerja-pekerja sama ada tempatan dan asing.

Sehubungan dengan itu, Jabatan Buruh ingin mengingatkan kepada majikan supaya sentiasa memantau hal ehwal kebajikan pekerja menurut kehendak Perintah Pekerjaan 2009 seperti penyediaan kontrak pekerjaan, pembayaran gaji tepat pada waktunya dan memberikan tempat tinggal yang bersih.

Di samping itu, dinasihatkan kepada majikan untuk tidak menyalahgunakan Lesen Pekerja Asing dan melanggar akta di bawah Perintah Pekerjaan 2009. Bagi mereka yang ingin untuk mendapatkan maklumat lanjut bolehlah berhubung dengan Jabatan Buruh di talian 2381848 (semasa waktu bekerja) atau 7298989 (di luar waktu bekerja).

Pegawai penguat kuasa semasa menjalankan operasi di kompleks membeli-belah. – Gambar serahan Jabatan Buruh