Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Mac – Seorang lelaki yang gagal mengawal kemarahannya dalam dua kejadian berasingan, mengundang padah buat dirinya apabila dihukum empat tahun penjara oleh Mahkamah Tinggi di sini, kelmarin, atas pertuduhan mengugut ahli keluarganya dan merosakkan kereta mereka.
Hakim Pengiran Datin Hajah Rostaina binti Pengiran Haji Duraman menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohammad Shahiful Rizal bin Awang Bakri yang mengugut ahli keluarganya dan menendang kereta mereka selepas berlaku pertelingkahan sesama mereka.
Kejadian didakwa berlaku pada 21 Februari tahun lalu pada jam 6:15 pagi di Kampung Perpindahan Lambak Kanan.
Dalam kejadian lain pada 7 Mei tahun lalu di alamat sama, tertuduh sekali lagi mengugut ahli keluarganya, melakukan kerosakan pada kereta dengan menendangnya dan turut membuat ugutan dengan batang besi.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu selepas gagal mendapatkan kabel pengecas bateri kereta. Pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Dr Mohammad Hussin Ali bin Idris.





























