KUALA LUMPUR, 24 Mei – Skuad memanah lelaki Malaysia gagal dalam misi memburu pingat emas setelah tewas 2-6 kepada Korea Selatan pada aksi separuh akhir acara recurve berpasukan pada Kejohanan Memanah Piala Dunia peringkat kedua di Antalya, Turki hari ini.
Keputusan tersebut menyaksikan trio negara yang terdiri daripada Khairul Anuar Mohamad, Muhammad Akmal Nor Hasrin dan Muhd Zarif Syahir Zolkepeli bakal menentang pasukan Great Britain pada perlawanan penentuan gangsa, Sabtu ini.
Korea Selatan akan menentang Jepun pada perlawanan penentuan pingat emas setelah mengalahkan Great Britain 6-2 pada satu lagi aksi separuh akhir, demikian menurut laman sesawang Persekutuan Memanah Dunia.
Terdahulu, Khairul Anuar tewas 3-7 kepada pemanah Korea Selatan, Kim Woo Jin pada aksi separuh akhir recurve individu.
Khairul Anuar bakal berdepan rakan senegara Kim, Oh Jin Hyek pada perlawanan penentuan pingat gangsa, Sabtu ini.
Malaysia tidak menghantar wakil dalam acara recurve wanita, compound lelaki dan wanita pada kejohanan berkenaan. – Bernama