Gagal pamer diskaun, premis didenda $1,000

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JAN – Sebuah premis perniagaan peralatan elektronik dan elektrik telah dikenakan kompaun berjumlah $1,000 setelah didapati tidak mempamerkan perbandingan harga (sebelum dan selepas diskaun) dan menawarkan barangan pada harga yang tidak sama dengan senarai harga seperti yang dikehendaki di bawah Peraturan Acara Jualan Murah.

Kesalahan tersebut didapati semasa pemeriksaan rutin oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) melalui Jabatan Persaingan dan Hal Ehwal Pengguna (JPHEP) pada Disember 2020, menurut kenyataan yang dikeluarkan.

Kenyataan menjelaskan, Peraturan Acara Harga Jualan Murah menyatakan bahawa tawaran diskaun semasa acara jualan hendaklah berdasarkan harga terendah yang ditawarkan semasa 30 hari terakhir sebelum Brunei Salebration (BSb) 2020 bermula.

Ini termasuk harga dan tawaran diskaun yang diberikan secara lisan semasa transaksi dibuat antara peniaga dan pengguna.

Peraturan berkenaan bertujuan untuk memastikan pengguna tidak diperdaya oleh peniaga dengan penjimatan palsu berdasarkan ‘harga sebelum’ yang telah dinaikkan atau dengan membuat kenyataan palsu mengenai ‘harga sebelum’ acara jualan.

Kegagalan memberi maklumat sokongan bagi mengesahkan ketulenan tawaran diskaun atau memberikan maklumat palsu mengenai harga diskaun dengan tujuan mengelirukan pengguna adalah menjadi satu kesalahan di bawah Perintah Pelindungan Pengguna (Perdagangan Wajar) dan Peraturan Acara Harga Jualan Murah, yang membawa denda maksimum sebanyak $20,000 dan penjara lima tahun.

Oleh itu, para peniaga hendaklah mematuhi peraturan tersebut dengan menggunakan ‘harga sebelum’ supaya para pengguna mengetahui harga sebelum dan harga selepas, sebelum membuat pembelian.

Selain daripada usaha JPHEP menjalankan pemeriksaan, orang ramai juga dinasihatkan untuk menjadi mata dan telinga dengan memberikan maklumat kepada pihak JPHEP sekiranya mengesyaki sebarang amalan perniagaan yang tidak wajar.

Sebarang soalan, maklum balas atau aduan mengenai BSb 2020 atau perlindungan pengguna secara amnya, bolehlah hubungi pihak JPHEP melalui Talian Darussalam 123, aplikasi mudah alih PenggunaBijak atau e-mel [email protected]