Gajah dipenggal kepala ditemui di Riau

PEKANBARU, 20 NOV – Seekor gajah Sumatera ditemui mati dengan kepalanya dipenggal manakala gadingnya turut dicabut, dipercayai perbuatan pemburu haram, menurut pegawai perlindungan hidupan liar Indonesia.

Bangkai haiwan terancam dianggarkan berusia 40 tahun itu ditemui oleh seorang pekerja ladang di wilayah Riau, Sumatera pada Isnin lalu.

“Kepala gajah jantan itu sudah dipotong dan sepasang gading yang sudah dicabut kelihatan beberapa meter dari bangkai haiwan itu,” kata ketua agensi perlindungan tempatan, Suharyono dalam satu kenyataan.

Gajah tersebut dipercayai sudah mati seminggu lalu dan pihak berkuasa masih cuba mengesan pihak yang bertanggungjawab serta mengesyaki ia dibunuh sebelum kepala dan gadingnya dipotong.

Penebangan hutan yang berleluasa menjadikan habitat semula jadi spesies hidupan liar berkenaan semakin berkurangan, sekali gus membuatkan haiwan terancam itu kerap menimbulkan masalah kepada manusia.

Ditambah dengan nilai tinggi gading gajah di pasaran gelap, aktiviti pemburuan haram semakin rancak dan mudah dilakukan. – AFP

Gajah tanpa kepala yang ditemui pekerja ladang di Riau, wilayah Sumatera. – AFP