Gajah ‘kesunyian’ jumpa teman baharu

ODDAR MEANCHEY, KEMBOJA, 1 DIS – Ini merupakan pertemuan pertama dengan gajah lain dalam tempoh lapan tahun.

Menghulurkan belalainya, Kaavan menyapa rakan baharunya di kawasan perlindungan Kemboja di mana ia memulakan kehidupan baharu selepas diselamatkan dari sebuah zoo usang di Pakistan.

Gajah berusia 36 tahun – digelar sebagai ‘gajah paling sunyi di dunia’ – merupakan gajah Asia tunggal di zoo usang di Islamabad.

Kumpulan hak asasi haiwan melancarkan kempen untuk menyelamatkannya dari keadan kurang memuaskan di sana, meningkatkan sokongan melalui media sosial dari pelakon dan penyanyi Amerika Syarikat, Cher.

Gajah tersebut tiba di Kemboja kelmarin dan disambut meriah – turut mengucapkan selamat datang ialah Cher, yang bukan sahaja datang ke Pakistan untuk menyaksikannya tetapi dia turut tiba menjemput gajah itu di Lapangan Terbang Siem Reap.

Kaavan dilihat bersama seekor gajah lain di kawasan penempatan baharunya di Kemboja. – AFP

Hari ini menyaksikan Kaavan menyesuaikan diri di kandangnya di Taman Perlindungan Hidupan Liar Kulen Prom Tep, di mana ia dilihat menyentuh belalai gajah lain, menerusi imej yang diberikan oleh taman tersebut.

“Sentuhan pertama dengan gajah lain dalam masa lapan tahun – ini merupakan saat yang indah buat Kaavan,” kata Martin Bauer, jurucakap kumpulan yang berpangkalan di Austria yang bekerja selama berbulan-bulan untuk menguruskan penerbangan untuk Kaavan.

“Kaavan akhirnya mempunyai peluang untuk hidup dengan spesies yang bersesuaian dan tenang,” kata Bauer, menambah bahawa keseluruhan pasukan terharu menyaksikan interaksi kali pertama itu.

Setakat ini, Kaavan sedang meninjau persekitaran baharunya, merasa ingin tahu dan bermain dengan pasir, lumpur dan air.

“Ia suka berada di sini. Kelakuannya adalah seperti biasa – berjalan-jalan atau hanya berdiri, menyandarkan kepala ke dinding,” kata Darrick Thomas, yang memantau penjagaan haiwan di taman tersebut, memberitahu AFP. – AFP