COX’S BAZAR, Bangladesh, 18 Sept – Gajah liar menginjak-injak dua pelarian tua Rohingya hingga mati hari ini ketika mereka tidur di bawah kepingan plastik berhampiran hutan di Bangladesh, kata polis.
Kejadian itu berlaku di pinggir bandar kem pelarian Kutupalong di daerah Cox’s Bazar, di mana berpuluh ribu Rohingya telah mendirikan tempat perlindungan sementara sejak melarikan diri daripada keganasan di sempadan Myanmar.
“Kami boleh mengesahkan dua orang dibunuh oleh gajah liar,” beritahu ketua polis tempatan Abul Khaer kepada AFP, menambah kedua-dua si mati adalah orang awam Rohingya.
Lebih daripada 410,000 Rohingya telah tiba di Bangladesh sejak keganasan baru meletus pada 25 Ogos di negeri barat Rakhine Myanmar.
Ruang di kem pelarian di Bangladesh telah pun habis digunakan, dengan ketibaan baru mendorong aktiviti menebang pokok dan tumbuh-tumbuhan lain di mana-mana yang ditemui oleh mereka untuk mendirikan tempat perlindungan daripada hujan monsun.

Ramai pelarian yang baru tiba sedang berkhemah di tempat terbuka atau di sepanjang tepi jalan, di mana mereka bergegas mendapatkan trak bantuan untuk makanan dan bekalan lain yang amat diperlukan.
Pemimpin Rohingya Kamal Hossain berkata dua pelarian yang dibunuh oleh gajah adalah ketibaan baru, yang telah mendapatkan perlindungan di kawasan hutan berhampiran kem Kutupalong.
“Ia berlaku pada awal pagi ini apabila Rohingya sedang tidur di bawah khemah plastik. Gajah liar menginjak-injak dua orang awam tua hingga mati,” beritahu Hossain kepada AFP.
Ramai pelarian yang kehilangan tempat tinggal telah tiba dengan kisah pembunuhan dan rogol oleh anggota keselamatan Rakhine dan militan beragama Buddha. Keganasan terbaru meletus selepas serbuan militan Rohingya ke atas 30 pos polis di Rakhine mencetuskan tindakan keras daripada tentera. – AFP