Gajah masuk dapur

BANGKOK, 22 JUN – Beberapa keluarga yang tinggal berdekatan hutan mungkin bimbang terserempak dengan sesuatu pada waktu malam, namun tidak bagi sebuah keluarga di Thailand, di mana kehadiran seekor gajah yang menggeledah dapur mereka bukan lagi satu kejutan.

“Ia datang untuk memasak lagi,” kata-kata sarkastik Kittichai Boodchan dalam kapsyen video Facebooknya yang dirakamnya pada hujung minggu memperlihatkan belalai gajah masuk ke dapurnya.

Mungkin didorong rasa lapar tengah malam, haiwan besar itu menyembulkan kepalanya di dapur Kittichai malam Ahad, menggunakan belalainya untuk mencari makanan.

Ada ketikanya ia mengambil beg plastik cecair, melihatnya sebentar, dan kemudian memakannya – sebelum video itu dipotong.

Kittichai dan isterinya tinggal dekat taman negara di barat Thailand, di tepi tasik tempat gajah liar sering mandi-manda semasa merayau-rayau dalam hutan.

Gambar yang diambil pada 20 Jun dari laman akaun Facebook Radchadawan Peungprasopporn pada 22 Jun menunjukkan seekor gajah mencari makanan di dapur rumahnya di Pa La-U, Hua Hin. – AFP

Dia kelihatannya tidak kisah dengan mamalia besar itu, menganggapnya sebagai pengunjung tetap kerana ia sering datang ke rumah-rumah di kampung itu di mana ia makan dan balik semula ke hutan.

Gajah itu sebenarnya telah memusnahkan tembok dapur mereka pada Mei, katanya, membuatkan dapur mereka menyerupai konsep dapur terbuka dan pandu lalu menerusi tingkap.

Hujung minggu ini, tugasnya hanyalah untuk mencari makanan.

Kittichai berkata mengikut garis pandu semasa berurusan dengan pengunjung yang tidak dialu-alukan adalah untuk tidak memberinya makan.

“Apabila ia tidak mendapat makanan, ia hanya pergi begitu saja,” ujarnya kepada AFP.

“Saya sudah biasa melihatnya datang, jadi saya tidak begitu bimbang.”

Kehadiran gajah liar sudah menjadi perkara biasa di taman negara Thailand dan kawasan sekitarnya, dengan para petani kadangkala melaporkan insiden buah-buahan dan tanaman jagung mereka dimakan oleh sekumpulan gajah yang lapar. – AFP