Gajah tertua di Amerika Utara disahkan mati

MEMPHIS, 6 SEPT – Seekor gajah Afrika tertua di Amerika Utara telah disahkan mati pada usia 56 tahun, menurut para pegawai di zoo Tennessee.

Tyranza, gajah yang paling lama dipelihara di Zoo Memphis, telah dimasukkan ke tempat rawatan dan akhirnya mati pada Jumaat selepas keadaan kesihatannya merosot secara dramatik.

Pasa usia 56, Tyranza mencatat rekod sebagai gajah Afrika paling lama hidup di Amerika Utara, menurut kenyataan zoo.

“Banyak generasi peminat zoo dan beberapa orang pekerja yang bekerja di Zoo Memphis pasti mengenali Tyranza. Ia merupakan gajah yang paling gagah pernah dijumpai. Saya akan merindui ketenangannya, kehadirannya,” kata Matt Thompson, pegawai ketua zoologi.

Dalam kenyataan dari zoo mengatakan Tyranza, yang turut dikenali sebagai Ty, dilahirkan di belantara pada 1964.

Ia pernah menyertai sarkas gajah buat seketika bersama Ringling Brothers sebelum dihantar ke Zoo Memphis pada 1977 ketika berusia 12 tahun.

Tyranza mempunyai personaliti yang besar di zoo tersebut.

Ia akan mengusir burung yang terbang di kawasannya tetapi peramah dengan badak yang berada di ruang bersebelahan pameran dan sering dilihat mengaru belakangnya menggunakan belalainya.

Ia juga suka makan buah tembikai, pisang dan manisan.

“Ada sesuatu kehadiran yang menyerlah dan ketajaman mental yang dimiliki Ty yang unik.

“Ty telah mengajar saya lebih banyak tentang keadilan dan kepercayaan daripada apa yang pernah saya temui,” kata Houston Winbigler, bekas kurator zoo yang bekerja bersama Tyranza selama hampir empat dekad.

Menurut zoo tersebut orang ramai ingin memberikan penghormatan mereka kepada Tyranza bolehlah meninggalkan kad dan bunga di patung gajah di hadapan plaza zoo.- AP